Pages

Thursday, December 22, 2011

Adam Adli

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam mesra buat semua. Semoga berada dalam limpahan iman dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Rasanya ramai yang dah kenal anak muda yang merupakan pemilik nama adam adli. Seakan-akan menjadi satu fenomena pula dek kerana tindakan dia menurunkan bendera YAB PM dan menaikkan bendera academic freedom.



Rasional
Tujuan menulis entri ini, kerana keberadaan dalam profesion yang sama. Rasa terpanggil untuk menghayati pemikiran anak muda ni, sebab jarang ada guru atau bakal guru yang berani untuk menonjolkan diri seumpama itu. Penulisan ini cuma pandangan peribadi, tidak menggambarkan pendapat majoriti organisasi yang diterajui mahupun kampus saya.



Pendirian
Saya tidak berpendirian setuju mahupun tidak setuju dengan tindakan dia. Tapi lebih kepada ingin melihat rasional dia bertindak seumpama itu. Juga tidak berniat untuk memperkatakan tentang wajar ataupun tidak tindakannya itu. Sebagai orang awam, kalau nak mempersoalkan sesuatu perkara adalah sebelum berlaku. Dah berlaku, kita hanya boleh menilai tanpa cuba menghukum. Nak melabel itu dan ini, rasanya diri ini bukan sesiapa. Belajar pun tak habis lagi. Praktikum pun tak mula lagi. Cuma nak berkongsi pandangan.



Mesej
Sebagaimana yang dijelaskan oleh dia, tindakan yang dilakukannya hanya merupakan satu mesej. Ya. Mesej. Memberi penerangan terhadap sesuatu agar dapat difahami oleh penerima. Penghantar + Mesej + Penerima = Komunikasi. Kalau tidak ada salah satu dari tiga komponen tu, maka proses komunikasi tidak akan berlaku. Maklumat tidak akan sampai kepada penerima.

Kalau cuma ada penghatar dan mesej, tanpa menerima, ianya cuma merupakan satu tindakan seperti menyalak bukit. Dan kalau tak ada penghantar, tapi tiba-tiba sampai mesej kepada penerima, itu dah jadi kes surat layang pula. Dalam kes adam adli, dia bertindak sebagai penghantar, sasaran penerima sebagaimana wawancara yang dibuat padanya ialah: rakan-rakannya, dan mesej yang dilakukan olehnya.. agak lain daripada biasa, dengan niat untuk menarik perhatian rakan-rakan yang sedang mendengar ucapan. (boleh google kenyataan adam adli dalam youtube)

Katanya dalam wawancara berkenaan, selama ini pun sudah banyak kali penyerahan memorandum dibuat, dan mengulang-ulang perbuatan yang sama impaknya kurang. Jadi dia cuba menyampaikan mesej berimpak tinggi. dan kesannya: seluruh Malaysia memberikan perhatian kepadanya. Melebihi penerima yang disasarkan. Apabila penerima sudah melebihi sasaran, maka mesej yang cuba disampaikan itu, diterima dengan pelbagai pemahaman pula. Ada yang menyokong, tak kurang juga yang menentang. Ada yang memilih untuk menunggu kebenaran (berkecuali).



Betul dan Benar
Antara betul dan benar yang mana satu lebih tepat?

Saya pilih kebenenaran.

Perkara yang benar tak semestinya betul pada pandangan manusia. Soal kebenaran ini, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Makanya:

"Ya Allah, seandainya tindakan adam adli ini adalah satu kebenaran di sisimu. Maka bantulah dia dalam perjuangannya dan Ya Allah seandainya ianya bukan satu kebenaran, maka tunjukilah dia dan kami jalanMu yang lurus. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui akan segala sesuatu"



Konklusi
Ianya berkaitan soal bagaimana kita meletakkan sikap atas sesuatu isu. Bukan senang mahu mengenepikan soal emosi apabila berlaku hal seumpama ini.

Imam Al Ghazali pernah menyebut dalam tulisannya: Hai Anak!

"Kemudian itu, ketahui pulalah bahawa sebahagian perkara yang engkau tanyakan padaku itu ada yang tak mungkin dijawab dengan tulisan dan perkataan. Jika tingkat hidupmu telah sampai ke sana, tahulah engkau apakah dia, jika tidak, maka mengetahuinya termasuk perkara mustahil, kerana ia adalah barang yang bersangkut dengan perasaan, tak dapat ditujukkan dengan perkataan. Seperti kemanisan barang yang manis dan kepahitan barang yang pahit yang tidak dapat dikenal, melainkan dengan mencubanya terlebih dahulu."

Jadi, setakat itu sahaja yang mampu dilontarkan pandangan. Tidak berada ditempat adam adli, tidak juga berada ditempat PM. Tidak merasai apa yang mereka rasa.  Cuma berharap agar perkara ini diselesaikan dengan cara yang paling baik, demi kebaikan bersama.

Wallahua'lam


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails