Tuesday, November 23, 2010

TUNAIKANLAH AMANAH...

Assalamualaikum w.b.r..

Salam dari seorang Umairah..

Saya dalam perjalanan bersama-sama beberapa rakan yang baru saya kenal. Kami menaiki sebuah kenderaan yang di pandu oleh seorang pak cik yang lebih mesra kami kenali sebagai Pak Him. Dalam perjalanan kami berbual tentang banyak perkara. Antaranya...

Pak Him mula membuka cerita. Orangnya memang sangat ramah dan suka bercerita. Semua orang ditegurnya. Itulah indahnya hidup bermasyarakat di kampung ini.

Pak Him : Kedai ayam kampung ni memang ramai orang. Sudah pukul 9.00 pun masih ramai 'orang pejabat' yang makan di kedai.

Saya yang tidak memahami tuju bicara, menjawab kerana ingin memecahkan suasana yang agak sunyi.

Saya : Ayam kampung memang sedap Pak Him. Kedai ni memang ramai orang datang.

Teringat abah pernah cakap yang kedai ni memang ramai orang singgah. Maklumlah, zaman sekarang ni bukan senang nak dapat ayam kampung. Asyik makan ayam cucuk sahaja. Mana nak sihat.

Pak Him : Bukan masalah ayam kampung. Tapi sekarang ni dah pukul 9.00 pagi. Sudah waktu pejabat, tapi  'orang pejabat' ni masih sedang makan di kedai. Kasihan dekat orang kampung. Mereka ni pagi-pagi lagi dalam pukul 8.00  dah ke pejabat untuk selesaikan urusan tanah dan sebagainya. Tapi pukul 8.00, 'orang pejabat' baru nak pergi makan. Ni kalau pukul 9.00 pagi masih di kedai, agaknya pukul 9.30 baru masuk pejabat balik. Kasihan. Kalau pejabat yang tak cukup kakitangan, terpaksalah orang-orang kampung menunggu lama. Mereka pun ada urusan lain.

Kerja satu amanah (Gambar sekadar hiasan)

Saya : Ooo. Betul la tu Pak Him. Kasihan kat orang kampung.


AMANAH

Perbualan terhenti kerana masing-masing sedang menikmati sejuknya suasana pagi yang mendamaikan. Pak Him pula kelihatannya ingin fokus pada pemanduan. Saya ambil masa untuk berfikir sambil melihat pada kehijauan pepohon. Indahnya negeriku, bebas dari asap-asap kenderaaan yang menyesakkan, hiruk pikuk bunyi kenderaan, dan kerja-kerja pembinaan. Sungguh suasana begini yang sering menggamit saya untuk pulang ke desa tercinta. Tapi satu perkara sahaja yang saya rasa kurang berkenan. Isu yang dibangkitkan Pak Him sebentar tadi. Kalau tidak silap saya, dulu saya pernah terbaca satu keratan akhbar yang merekodkan negeri saya ini termasuk antara negeri yang ramai pekerjanya curi tulang waktu pejabat.

Bukan berniat untuk memburuk-burukkan sesiapa. Saya ingin menjadikan situasi ini sebagai iktibar buat diri saya sendiri. 'Orang pejabat' yang dimaksudkan oleh Pak Him sudah tentu sekali individu yang bekerja di sektor kerajaan. Saya juga bakal bekerja di sektor kerajaan dan mungkin anak didik saya nanti juga akan bekerja di sektor kerajaan. Bukan bekerja di mana dan apa kerja kita yang menjadi isunya di sini, tetapi bagaimana kita memperlakukan kerja kita.












Allah swt berfirman;

Ertinya:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." [An Nisa: 58]


Apabila kita menerima sesuatu amanah, perkara utama dan pertama yang harus kita sedar ialah amanah itu adalah daripada Allah dan Allah menitipkannya buat kita untuk dilaksanakan selayaknya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286;

"Allah tidak membenani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya....."


Lalu, amanah itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Kita terpilih bukan membawa maksud kita adalah orang yang selayaknya tetapi ianya boleh jadi kerana Allah ingin menguji kita. Kata orang hidup ini umpama roda. Kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang kita di bawah. Tidak kira berada di atas atau di bawah, kita mempunyai peranan masing-masing. Kalau konteksnya adalah sistem dalam sesebuah negara, maka kita andaikan pemimpin negara itu sebagai orang yang berada di atas, dan orang awam sebagai orang yang berada di bawah. Amanah pemimpin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat di bawah pimpinannya dan menegakkan agama Allah. Manakala, bagi rakyatnya puala ialah memberikan kepatuhan kepada pemimpin selagi mana tindak tanduk sang pemimpin tidak melanggar syariat agama. Bagaimana sekiranya pemimpin telah melanggar syariat?? Anda jawablah sendiri. Kita punya hati dan kita juga punya akal. Untuk apa kurniaan Tuhan ini kalau tidak digunakan. Kasarkah?? Tapi ini realitinya...Tidak mengapa kalau kita sanggup diri  kita dibuta tulikan. Tapi, sampai bila kita sanggup???

Amanah itu pula tidak akan selama-lamanya akan menjadi milik kita. Dalam Al-Quran ada dinyatakan;

" Katakanlah Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu dari sesiapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yang Engkau mahu. Di tanganMu (Wahai Allah) segala kebaikan dan kekayaan. Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja."


 JANGAN KERANA NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA

Kita bersaudara... (=
Sebagai umat Islam, kita adalah bersaudara dan setiap dari kita menjadi cerminan kepada saudara kita yang lain. Oleh itu, jalankanlah amanah kita dengan sebaiknya. Kita lihat sahaja pada konteks negara kita  sendiri. Rasanya, dalam hal ini kita tidak perlu untuk mengambil contoh yang jauh. Bangsa Melayu sering dilabel sebagai MALAS. Bukankah majoriti bangsa Melayu itu adalah ISLAM?? Maka hal ini akan mendatangkan persepsi yang buruk pada bangsa lain yang berminat terhadap Islam. Amat menyedihkan sekiranya perkara ini yang menjadi alasan kenapa orang bukan Islam memandang Islam, sedangkan sejarah membuktikan umat Islam pernah mengecapi zaman kegemilangannya.

Memang benar, semasa Barat berada di Zaman Kegelapan perbezaan antara dunia Islam dan Barat dapat dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (the New Home Library, New York, 1943) dengan berkata;

"Europe was darkened at sunset, Cordova shone with public lamps, 
Europe was dirty, Cordova built thousand baths, 
Europe was covered with vermin, Cordova changed its undergament daily, 
Europe lay in mud, Cordova's street were paved, 
Europe's palaces had smoke-holes in the ceiling, Cordova's arabesques were exquisite,
Europe's nobility could not sign its name, Cordova's children went to school, 
Europe's monks could not read the baptismal service, Cordova's teachers created a library of Alexandrian dimension."

(Dipetik daripada buku Minda Muslim Super tulisan Dr Danial Zainal Abidin)  

Hebat bukan sejarah Islam kita? Resipinya adalah kerana ilmuwan-ilmuwan dahulu tahu perkara yang mereka perlu lakukan dengan amanah yang diberikan dan tidak pernah pula mengabaikannya. Kita tidak akan tahu Islam akan bangkit di tangan siapa. Maka sama-samalah kita berusaha untuk mengembalikan sinar kegemilangan syiar Islam yang kita cintai ini.


BERTANGGUNGJAWABLAH DENGAN AMANAH 

Kesimpulannya, bertanggungjawablah dengan amanah yang kita pikul. Ini sebuah pesan untuk penulis. Saya kira menulis blog juga merupakan satu amanah. Walau nampak kecil, kita tidak tahu apa impaknya. Bergantung kepada intipati penyampaian. Terpulanglah...

Saya masih ingat pesan seorang guru;

" Kita kerja ni biar gaji RM 300, tapi kita buat kerja macam orang gaji RM 1000. Buat sungguh-sungguh. InsyaAllah,  kalau Allah tak bagi dalam bentuk duit, adalah kemudahan-kemudahan yang akan DIA berikan tanpa kita sedari"

Kenapa agaknya???

Kerana Allah itu Maha Adil.... (=

1 comment:

  1. Gaji yang sedikit tetapi berkat lebih baik dari gaji yang banyak tetapi tidak berkat.

    Duit yang sedikit tapi halal lebih baik dari duit yang banyak tapi haram

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails