Thursday, November 18, 2010

PENULIS vs ARTIS..


Assalamualaikum w.b.r...

Salam dari seorang Umairah...

Alhamdulillah... Tinta maya mampu terlakar lagi...

Tetapi sebenarnya saya ketandusan idea. Ada perkara yang hendak dikongsikan tetapi mungkin belum cukup perisa. Menulis (walaupun dalam konteks maya disebut sebagai menaip.. huhu) adalah satu perbuatan yang dapat mendatangkan kepuasan dan memerlukan perisa tertentu menurut selera penulis sendiri. Jadi kalau dah rasa macam cukup perisa barulah sesuatu entry akan diterbitkan. (Rasa macam skema la pula)...

Dek kerana kekontangan idea untuk menulis, makanya saya membelek karangan-karangan lama saya yang masih ada dalam simpanan. Karangan waktu alam persekolahan masa tahun 2006 (Oh, tahun SPM ni – daku terkenang... huhu). Bila tengok balik rasa macam kelakar pun ada. Entah apa la yang saya tulis. Tapi itulah, satu tabiat saya yang agak tidak elok untuk diamalkan ketika peperiksaan ialah kecenderungan untuk menulis ayat yang berjela-jela walaupun untuk menyampaikan maksud yang ringkas. Sudahnya, jadilah fenomena tak cukup masa. Adakah waktu dulu-dulu saya bermasalah bahasa dan komunikasi macam yang saya belajar dalam Pendidikan Khas?? Entahlah.. Mungkin ya, mungkin tidak...

Saya tidak mahu laman sesawang ini terbiar sepi terlalu lama, jadinya saya ambil keputusan untuk kongsi salah satu karangan yang pernah saya tulis. Saya pun tak pasti waktu bila saya jawab soalan ini, tapi apapun saya dah baiki sedikit sebanyak. Tapi tak banyak pun kerana berniat untuk mengekalkan keaslian. Yang mana salah eja sahaja saya betulkan. Kalau ada adik-adik SPM terbaca blog ni (ada ke.. huhu), tak payah buat rujukan la ye. Karangan ni tak seberapa. Markah cukup makan je. Isu semasa yang digunakan pun sesuailah dengan zaman tu, tapi sudah tidak relevan lagi dengan isu sekarang. Satu lagi, saya pun tak tahu apa tajuk soalan sebab saya tak tulis. Apapun, selamat membaca dan ambil input yang mana penting.


Artis merupakan seorang insan ataupun individu yang mempunyai bakat serta kebolehan dalam bidang hiburan tidak kira sebagai pelakon, penyanyi, pelawak dan sebagainya. Dewasa ini kita dapat menyaksikan kemunculan ramai artis baru dalam industry hiburan tanah air dan kehadiran mereka yang ramai ini ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sebut sahaja nama Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Misha Omar, Hans Isaac, ataupun Ako Mustapha, tentu ramai yang mengenali mereka. Begitu juga dengan Faizal, jaura Akademi Fantasia musim keempat. Khabarnya, orang Kemaman mengumpul ahli untuk membentuk Kelab Peminat bagi menyokong bintang yang baru bersinar ini. Bagaimana pula dengan nama A. Samad Said, Lim Siew Tin, Dr HM Tuah Iskandar dan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni. Pasti ada antara kita yang termangu-mangu, menggaru-garu kepala, serta menggelengkan kepala masing-masing lantaran tidak pernah mengenali meraka. Kalau ada, jumlahnya pasti sedikit. Merekalah sebenarnya penulis-penulis yang mampu membentuk minda remaja.

Setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai sebab musabab yang tersendiri. Rasanya tidak perlu ada rundingan ataupun mesyuarat bagi mencari faktor ataupun pemangkin bagi yang menyebabkan remaja hari ini semakin mengenepikan penulis berbakat dan mengagungkan para artis. Lihat sahajalah sekeliling kita. Setiap hari kita menonton televisyen. Sama ada kita sedar ataupun tidak, kebanyakan rancangan yang disiarkan menjurus ke arah hiburan. Seawal jam tujuh pagi sehinggalah lewat malam, berpuluh-puluh drama berlainan genre disajikan kepada penonton. Sekarang lihatlah, mana mungkin remaja tidak mengagungkan artis kerana setiap hari mereka didedahkan dengan perkara seumpama itu. Sudah menjadi fitrah bagi seorang remaja, jiwa mereka mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling apatah lagi sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu yang mencukupi. Jadilah mereka seperti lalang yang ditiup angin, tidak mengikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk.

Selain itu, kebanyakan remaja juga semakin mengenepikan penulis-penulis ini kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Kesibukan ibu bapa mencari wang untuk menyara kehidupan keluarga menjadikan mereka lupa akan tanggungjawab sebenar untuk mendidik anak-anak. Mereka membiarkan anak-anak mereka berbangga dengan artis pujaan kononnya merekalah ibu bapa yang paling berfikiran terbuka dan mengikut peredaran semasa. Lebih teruk lagi sekiranya ada yang sesetengah ibu bapa yang meminati artis lebih berbanding anak-anak mereka sendiri. Sudah tentu mereka tidak boleh menegur anak-anak mereka kerana sekiranya mereka melakukan yang sedemikian, mereka tidak ubah seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan betul. Elok ibu bapa, maka moleklah anaknya kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Masa umpama pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu. Pepatah Inggeris ini menerangkan kepada kita peri pentingnya menjaga masa. Perbandingan yang dapat kita buat adalah antara seorang remaja yang menjaga masa dengan membaca tulisan-tulisan ataupun karangan-karangan ilmiah dengan remaja yang membazirkan masanya berada di hadapan televisyen untuk menonton rancangan realiti Akademi Fantasia. Remaja yang membaca sudah tentu memperoleh banyak pengetahuan yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian sedangkan remaja yang menghabiskan masa dengan hiburan pula, sudahlah masa dihabiskan begitu sahaja, mata mereka pula akan mengantuk akibat berjaga malam kerana menunggu siaran tamat. Jikalau mata sudah mengantuk, sudah pasti tumpuan terhadap pelajaran juga akan terjejas. Kesimpulannya di sini, sekiranya seorang remaja terlalu mengagungkan artis, masa mereka akan terbuang begitu sahaja.

Disamping itu, implikasi lain yang akan timbul ialah wujudnya perasaan untuk meniru perbuatan artis tersebut. Ringkasnya, apabila remaja menjadikan mana-mana artis sebagai idola, meraka akan mempunyai satu kecenderungan untuk meniru perilaku artis berkenaan. Mereka akan meniru dari segenap sudut termasuklah cara berpakaian, cara hidup, perkara yang diminati artis berkenaan, serta banyak lagi. Hal ini tidak akan menguntungkan remaja berkenaan kerana dia seolah-olah membentuk dirinya untuk menjadi seorang insan yang lain. Lama-kelamaan perasaan sayang pada diri akan luntur dan mereka tidak malu untuk melakukan perbuatan yang tidak elok. Benarlah kata orang bahawa perlawanan yang paling hebat ialah perlawanan untuk menentang diri sendiri. Tidak ada salahnya sekiranya remaja mengikut perkara yang baik, tetapi perkara yang dikhuatiri adalah apabila mereka mencontohi sikap yang negetif dan sikap berkenaan mendarah daging dalam diri mereka.

Kita mengimbau sejenak perkembangan kebangkitan semangat nasionalisme sewaktu Negara belum merdeka, segala-galanya bermula dengan hasil penulisan. Kemunculan ramai penulis Melayu, yang membangkitkan semangat patriotisme mendorong penduduk Tanah Melayu bangkit untuk menentang penjajah. Akhirnya dengan berkat semangat satu padu, negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Pada ketika itu, tidak ada artis yang terlompat-lompat di atas pentas dengan menyanyikan lagu berentak rock. Konklusinya, remaja hari ini akan mudah dilalaikan oleh dendangan lagu. Keasyikan ini sebenarnya mendatangkan satu situasi yang merbahaya kepada kita. Akibat kelalaian ini, remaja tidak akan mempunyai semangat patriotik dalam diri mereka. Justeru, apabila hal ini berlaku, siapa tahu, negara kita akan kembali terjajah. Oleh itu, kita haruslah membebaskan minda kita daripada penjajahan yang disebabkan oleh sikap fanatik terhadap artis. Seorang pujangga pernah berkata, minda umpama payung terjun yang akan berfungsi apabila di buka.

Oleh hal yang demikian, kita semua haruslah sedar menyedari tanggungjawabkita dalam memartabatkan penulis-penulis yang berbakat besar. Penghargaan terhadap hasil penulisan ternyata dapat membentuk insan yang berguna. Kita seharusnya tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Gunakanlah akal kurniaan Allah dengan sebaik-baiknya.. Wallahu’alam...


Itu sahaja karangannya, tak panjang pun. Tapi saya tak boleh menahan diri daripada membaiki beberapa ayat yang agak teruk.. huhu.. Apapun, terima kasih pada yang sudi membaca dan minta maaf kerana mengambil masa anda membaca karangan taraf SPM ni..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails