Sunday, November 28, 2010
Wanita, Akalnya Senipis Rambutnya...
Friday, November 26, 2010
Entri ke-50
Dunia Pendidikan Khas
Salam dari seorang Umairah...
Hari ini rasanya ingin berkongsi serba sedikit tentang dunia Pendidikan Khas yang saya cintai ini. Realitinya saya masih belum menjadi guru dan masih dalam proses cuba menjiwai watak seorang guru pendidikan khas. Seringkali apabila ada yang bertanyakan tentang bidang pengkhususan saya di IPG dan saya menjawab Pendidikan Khas, lazimnya ada beberapa reaksi yang dapat saya jangka. Antaranya...
" Oh, pendidikan khas. Ajar budak-budak cacat ye?" tak pun "Ajar budak OKU, ye?"
"Oh, yang nanti belajar bahasa isyarat dan braille tu ye"
"Oh ye ke? Seronoknya. Tapikan kalau saya mesti tak boleh. Saya tak sampai hati tengok keadaan budak-budak tu. Tengok kejap je. Pastu mesti nangis."
Ada juga yang memberikan reaksi seperti ini.
"Mmm. Bagus tu. Satu bidang yang menyeronokkan, tapi mencabar. Baguslah"
Tak kurang juga yang akan menasihati seperti ini.
"Jadi cikgu pendidikan khas ni kena banyak sabar. Murid pendidikan khas ini ada yang kurang mental dan kurang fizikal. Kalau fizikal, kena buat macam ni (.............) dan kalau yang mental kena buat macam ni (............).
"Ni nak cerita berdasarkan pengalaman ni. Kalau budak syndrome tu, kita nak tarik perhatian dia, kena bagi ganjaran. Tak boleh ajar macam budak biasa. (dalam hati saya.. "Dasyat ni, aku baru belajar token ekonomi, dia dah praktikkan.Mantapnya.........")
"Jadi cikgu pendidikan khas ni kena kreatif..."
Tapi, tak kurang juga ada yang bertanya...
"Pendidikan Khas tu apa?"
Sedih juga bila ada yang cakap macam tu, tapi saya tidak boleh salahkan mereka. Kurang pendedahan. Itu mungkin jawapan yang terbaik. Mungkin kerana saya berada dalam bidang ini, maka saya tahu sedikit sebanyak mengenainya. Kalau saya tidak berada dalam bidang ini mungkin saya tidak akan ambil tahu tentang kanak-kanak ini. Keadannya sama juga apabila saya sudah tidak lagi bermain dengan kalkulator, saya juga sudah tidak ambil peduli sangat mengenai kira-kira yang sukar dalam matematik. Tapi atas dasar kemanusiaan dan persamaan hak dalam bidang pendidikan, sedikit sebanyak kita kena menjadi orang yang mengambil tahu tentang nasib mereka.
HOME OF ACORN
Cerita 'Home of Acorn' banyak mengesankan saya. Sebuah cerita Jepun yang mengisahkan pengalaman ibu bapa dalam menghadapi kanak-kanak pendidikan khas yang mempunyai pelbagai karenah serta usaha mereka untuk membangunkan sebuah 'rumah' yang menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak yang senasib dengan anak mereka. Realitinya, kanak-kanak pendidikan khas boleh melibatkan diri dengan masyarakat apabila masyarakat dapat menerima mereka.
Sepanjang saya mendalami bidang ini, saya dapat rasakan beberapa keistimewaan yang ada pada anak-anak istimewa ini. Biasalah kan, Allah itu Maha Adil. Apabila DIA tarik beberapa kelebihan, DIA ganti dengan kelebihan yang lain. Terpulang pada kita untuk menilai. Salah satu kelebihan mereka ialah mereka seolah-olah mampu untuk faham perasaan kita yang normal. Saya masih ingat kata seorang guru pendidikan khas yang berpengalaman luas dalam bidang ini. Katanya, kanak-kanak pendidikan khas ini boleh 'baca orang' Dia tahu siapa yang dia boleh 'makan' dan siapa yang tidak. Dia pun ada berkongsi tips dengan saya yang mana bila kita nak tahu kanak-kanak berkenaan masih boleh diubati ataupun tidak, Katanya kalau kanak-kanak berkenaan masih mempunyai eye contact dengan kita, tidak kira la walau seagresif mana pun dia, dia masih boleh dipulihkan. Bergantung kepada usaha kita pula.
Saya petik kata-kata dalam cerita Home of Acorn ini yang menggambarkan betapa kanak-kanak istimewa ini jua punyai hati dan perasaan seperti kita dan boleh merasakan getar emosi kita. Situasinya ialah seorang ibu kepada Keiko yang sudah putus asa mempunyai anak yang mempunyai masalah pendengaran dan terencat.Pada malam berkenaan Keiko seolah-olah dapat memahami ibunya yang tidak menginginkannya lagi. Apa rasa seorang anak, apabila ibu yang selama ini disandarkan harapan dan kasih sayang sudah berputus asa untuk menerima dirinya lagi. Kita yang normal ini pun banyak bergantung pada ibu bapa. Inikan pula mereka yang kekurangan. Tapi, kita juga harus faham kondisi ibu Keiko. Bayangkan juga ibu muda mana yang sanggup menjaga anak yang membuat sesuka hati seperti menceroboh masuk rumah jiran, memecahkan peralatan-peralatan rumah tanpa sebab, memukul ibunya sesuka hati. Pada malan Keiko menderita kerana asma, si ibu menyedari sesuatu. Kita hayati monolog si ibu ini dan renungkan maknanya yang sangat mendalam...
The sunset is beutiful and Oh!!
Tuesday, November 23, 2010
TUNAIKANLAH AMANAH...
Salam dari seorang Umairah..
Saya dalam perjalanan bersama-sama beberapa rakan yang baru saya kenal. Kami menaiki sebuah kenderaan yang di pandu oleh seorang pak cik yang lebih mesra kami kenali sebagai Pak Him. Dalam perjalanan kami berbual tentang banyak perkara. Antaranya...
Pak Him mula membuka cerita. Orangnya memang sangat ramah dan suka bercerita. Semua orang ditegurnya. Itulah indahnya hidup bermasyarakat di kampung ini.
Pak Him : Kedai ayam kampung ni memang ramai orang. Sudah pukul 9.00 pun masih ramai 'orang pejabat' yang makan di kedai.
Saya yang tidak memahami tuju bicara, menjawab kerana ingin memecahkan suasana yang agak sunyi.
Saya : Ayam kampung memang sedap Pak Him. Kedai ni memang ramai orang datang.
Teringat abah pernah cakap yang kedai ni memang ramai orang singgah. Maklumlah, zaman sekarang ni bukan senang nak dapat ayam kampung. Asyik makan ayam cucuk sahaja. Mana nak sihat.
Pak Him : Bukan masalah ayam kampung. Tapi sekarang ni dah pukul 9.00 pagi. Sudah waktu pejabat, tapi 'orang pejabat' ni masih sedang makan di kedai. Kasihan dekat orang kampung. Mereka ni pagi-pagi lagi dalam pukul 8.00 dah ke pejabat untuk selesaikan urusan tanah dan sebagainya. Tapi pukul 8.00, 'orang pejabat' baru nak pergi makan. Ni kalau pukul 9.00 pagi masih di kedai, agaknya pukul 9.30 baru masuk pejabat balik. Kasihan. Kalau pejabat yang tak cukup kakitangan, terpaksalah orang-orang kampung menunggu lama. Mereka pun ada urusan lain.
![]() |
Kerja satu amanah (Gambar sekadar hiasan) |
Saya : Ooo. Betul la tu Pak Him. Kasihan kat orang kampung.
AMANAH
Perbualan terhenti kerana masing-masing sedang menikmati sejuknya suasana pagi yang mendamaikan. Pak Him pula kelihatannya ingin fokus pada pemanduan. Saya ambil masa untuk berfikir sambil melihat pada kehijauan pepohon. Indahnya negeriku, bebas dari asap-asap kenderaaan yang menyesakkan, hiruk pikuk bunyi kenderaan, dan kerja-kerja pembinaan. Sungguh suasana begini yang sering menggamit saya untuk pulang ke desa tercinta. Tapi satu perkara sahaja yang saya rasa kurang berkenan. Isu yang dibangkitkan Pak Him sebentar tadi. Kalau tidak silap saya, dulu saya pernah terbaca satu keratan akhbar yang merekodkan negeri saya ini termasuk antara negeri yang ramai pekerjanya curi tulang waktu pejabat.
Bukan berniat untuk memburuk-burukkan sesiapa. Saya ingin menjadikan situasi ini sebagai iktibar buat diri saya sendiri. 'Orang pejabat' yang dimaksudkan oleh Pak Him sudah tentu sekali individu yang bekerja di sektor kerajaan. Saya juga bakal bekerja di sektor kerajaan dan mungkin anak didik saya nanti juga akan bekerja di sektor kerajaan. Bukan bekerja di mana dan apa kerja kita yang menjadi isunya di sini, tetapi bagaimana kita memperlakukan kerja kita.
Allah swt berfirman;

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." [An Nisa: 58]
Apabila kita menerima sesuatu amanah, perkara utama dan pertama yang harus kita sedar ialah amanah itu adalah daripada Allah dan Allah menitipkannya buat kita untuk dilaksanakan selayaknya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286;
"Allah tidak membenani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya....."
Lalu, amanah itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Kita terpilih bukan membawa maksud kita adalah orang yang selayaknya tetapi ianya boleh jadi kerana Allah ingin menguji kita. Kata orang hidup ini umpama roda. Kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang kita di bawah. Tidak kira berada di atas atau di bawah, kita mempunyai peranan masing-masing. Kalau konteksnya adalah sistem dalam sesebuah negara, maka kita andaikan pemimpin negara itu sebagai orang yang berada di atas, dan orang awam sebagai orang yang berada di bawah. Amanah pemimpin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat di bawah pimpinannya dan menegakkan agama Allah. Manakala, bagi rakyatnya puala ialah memberikan kepatuhan kepada pemimpin selagi mana tindak tanduk sang pemimpin tidak melanggar syariat agama. Bagaimana sekiranya pemimpin telah melanggar syariat?? Anda jawablah sendiri. Kita punya hati dan kita juga punya akal. Untuk apa kurniaan Tuhan ini kalau tidak digunakan. Kasarkah?? Tapi ini realitinya...Tidak mengapa kalau kita sanggup diri kita dibuta tulikan. Tapi, sampai bila kita sanggup???
Amanah itu pula tidak akan selama-lamanya akan menjadi milik kita. Dalam Al-Quran ada dinyatakan;
" Katakanlah Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu dari sesiapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yang Engkau mahu. Di tanganMu (Wahai Allah) segala kebaikan dan kekayaan. Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja."
JANGAN KERANA NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA
![]() |
Kita bersaudara... (= |
Memang benar, semasa Barat berada di Zaman Kegelapan perbezaan antara dunia Islam dan Barat dapat dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (the New Home Library, New York, 1943) dengan berkata;
Sunday, November 21, 2010
Bila Tiada SABAR...
- Sabar terhadap musibah, yakni sabar dan tidak marah terhadap musibah yang menimpanya, sebaliknya menerima dengan baik musibah itu.Maka Allah mencatatkan baginya yakni mentakdirkan atau menyuruh menulis di Loh Mahfuz 300 darjat, iaitu darjat tertinggi di syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi.
- Barang siapa yang bersabar dalam taat yakni mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu, maka Allah akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana antara satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi terakhir.
- Barang siapa bersabar daripada maksiat, yakni meninggalkan kerja maksiat, Allah akan mencatatkan baginya 900 darjat dengan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga sampai ke Arasy.
![]() |
Berdoalah kerana DIA Maha Mendengar.. |
![]() |
Maaf ye sahabat-sahabat untuk semuanya.. (= |
SETEGUH PENGORBANAN
Assalamualaikum w.b.r
Salam dari seorang Umairah,
Tinta maya terlakar lagi,
Aidiladha 1431 H sudah melabuhkan tirainya,
Meninggalkan seribu satu kisah dan makna bagi yang mencari,
Apakah kita bakal ketemu Aidiladha 1432 H,
Wallahu’alam... Allah lebih mengetahui....
Saya dibesarkan di Pantai Timur dan seperti kata kebanyakan orang, sambutan Aidiladha di Pantai Timur adalah meriah. Saya sebenarnya tidak pasti apakah definisi meriah pada pandangan mereka tetapi sekiranya meriah yang dimaksudkan adalah semeriah sambutan Aidilfitri di sesetengah negeri, jawapannya sudah tentu sekali tidak. Saya lebih suka mengatakan sambutan Aidiladha sebagai ‘hidup’ kerana masih ada usaha untuk menghidupkannya dengan amalan korban dan amalan-amalan sunat yang lainnya. Saya juga tidak pasti adakah amalan ini masih lagi diteruskan disebabkan penghayatan ataupun sekadar warisan. Bukan hak kita untuk menentukan tetapi mudah-mudahan kerana penghayatan kerana hanya dengan penghayatan, semua perkara yang dilakukan adalah atas dasar kefahaman. Mudah-mudahan kefahaman yang jelas memandu ke menuju mardhatillah. Amin....
Di sebalik Aidiladha, ada kisah yang sudah biasa kita dengar iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim a.s untuk ‘menyembelih’ anaknya Nabi Ismail a.s. Melalui peristiwa ini, dapat kita singkap kepatuhan seorang pesuruh Allah yang menerima perintah Tuhannya yang disampaikan melalui mimpi tiga kali berturut-turut. Lalu sang anak pula, tidak mempersoalkan amanat Allah ini. Dengan rela hati, bersedia meletakkan nyawanya di hujung torehan pisau tajam ayah tercinta. Namun, siapa yang dapat menjangka aturan Allah s.w.t. Tempat Nabi Ismail digantikan dengan seekor haiwan syurga iaitu kibas. Lalu bermulalah amalan korban sebagaimana yang diteruskan oleh masyarakat Islam seluruh dunia pada hari ini.
Pengorbanan. Lebih senang disebut berbanding melaksanakan. Itu adalah rasa saya. Mungkin ada yang sudah biasa berkorban, mendahulukan orang lain berbanding kepentingan sendiri, setiap masa. Subhanallah. Allah itu Maha Hebat. Diciptakan di dunia ini ada insan-insan yang memiliki jiwa pengorbanan yang sangat teguh. Dalam kebanyakan kisah insan-insan mulia, pasti disebaliknya ada jua wanita yang tidak kurang hebatnya. Begitu juga dengan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini. Di antara mereka ada sekuntum mawar yang wanginya mekar sepanjang zaman. Dialah Siti Hajar, Ibu Bangsa Arab. Dalam kisah korban Nabi Ismail, kita tidak nampak peranannya kerana pada ketika itu, wanita cekal ini sudah di alam baqa’. Dialah isteri kepada Nabi Ibrahim dan ibu kepada Nabi Ismail.
Dialah seorang ibu yang sarat dengan pengorbanan kerana tidak mungkin pada mana-mana zaman sekalipun seorang ibu sanggup melihat anaknya terkapar-kapar di hadapan matanya, menggelapar menghadapi maut. Benar, seorang ibu dianugerahkan dengan naluri kasih sayang yang amat tinggi sehingga mereka tidak akan sanggup melihat waima luka kecil pada tangan anak-anak mereka. Lihat sahaja fenomena buang bayi yang menggemparkan negara beberapa ketika, mana ada ibu yang sanggup menyaksikan kematian anaknya lantas dia lebih rela membiarkan anak mereka mati seorang diri.
Kita soroti kisah hidup Siti Hajar. Bermulanya nama dia dikenali dalam sejarah Islam apabila dia menjadi isteri kedua kepada Nabi Ibrahim. Pada zaman Heksus, berlakulah kemarau di muka bumi. Maka Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya telah berpindah ke Mesir. Raja Mesir pada ketika itu mengingini Siti Sarah (isteri pertama Nabi Ibrahim) untuk berkahwin dengannya, tetapi pada akhirnya dia mendapat tahu melalui mimpinya, bahawa Siti sarah itu sebenarnya isteri Nabi Ibrahim, maka dikembalikan Siti Sarah kepada Ibrahim dan dimuliakan. Kemudian Raja itu telah menghadiahkan seorang gundik bernama Siti Hajar. Oleh kerana merasakan dirinya sudah tua dan tidak boleh melahirkan anak, maka Siti Sarah mengahwinkan Siti Hajar dengan suaminya.
Sifat cemburu sinonim dengan wanita dan Siti sarah tidak terkecuali daripada memilikinya. Apatah lagi apabila Siti Hajar sudah mengandungkan Nabi Ismail. Akhirnya, pada suatu hari Nabi Ibrahim mengajak Siti Hajar keluar, lalu mereka menuju ke arah selatan. Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah.
Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.
Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:
"Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"
Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini."
Nabi Ibrahim menjawab: "Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..."
Siti Hajar bertanya lagi: "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"
Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah."
Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.
Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.
Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.
Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."
Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami," kata Siti Hajar.
Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa:
"Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu." (Surah Ibrahim Ayat 37)
Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar.
Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku.
Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali.
Anaknya Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?
Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana.
Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air.
Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.
Tubuhnya keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail.
Pada waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."
Selepas peristiwa itu, kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Makkah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Makkah menjadi tumpuan manusia.
Subhanallah sungguh tinggi pengorbanan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar. Tidak tertanding oleh kita. Maha suci Allah yang menciptakan orang-orang hebat yang sanggup berkorban agar kita dapat mengambil iktibar. Kita ini kadang-kadang, baru tertimpa ujian yang kecil sudah pun melatah. Saya tidak maksudkan orang lain, saya juga begitu. Kita terlalu berkira untuk banyak perkara kecil contohnya tidak sanggup untuk menyedekahkan seringgit dua buat teman-teman yang ditimpa musibah, tetapi kita boleh berhabis banyak wang untuk berbelanja keperluan dan kehendak kita hingga lebih dari yang sepatutnya. Fikir-fikirkanlah...
Rujukan:
- 100 Tokoh Wanita Terbilang suntingan Syed Ahmad Semait
- http://www.ukhwah.com/print.php?sid=864