Pages

Sunday, October 9, 2011

Bismillahirrahmanirrahim...

Kalau kita hendak membahagiakan orang lain, terlebih dahulu.. Belajarlah membahagiakan diri sendiri.  

Tapi, macam mana kalau kebahagiaan diri sendiri itu terletak pada kebahagiaan orang lain???

Ada sesetengah orang dalam dunia ni yang akan merasa bahagia apabila melihat orang lain bahagia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asal saja hati orang disekeliling mereka gembira dan bahagia. Apa sahaja, meskipun untuk menanggung derita.

Seorang isteri, sanggup bersekang mata siang dan malam menguruskan rumah tangga asalkan suaminya pulang ke rumah merasa tenang dengan suasana  di rumah.

Seorang suami bertungkus lumus bekerja siang dan malam mencari nafkah, bagi melihat isteri dan anak-anak bahagia dengan kehidupan yang selesa.

Ibu dan bapa sanggup berhabis banyak wang ringgit bagi memastikan anak-anak mereka mendapat keperluan yang mencukupi dalam proses tumbesaran mereka.

Seorang guru, sanggup menahan sabar dalam mendidik anak watan agar kelak mereka membesar menjadi insan yang berguna.

Serta banyak lagi contoh insan-insan pelbagai peranan yang sanggup berkorban demi menggapai sebuah bahagia.

Apabila kita mengenali orang-orang yang sanggup berkorban demi melihat orang lain bahagia ini, kita akan menyedari betapa Allah telah mengurniakan kepada mereka nilai empati yang cukup tinggi. Mampu meletakkan diri meraka dalam situasi orang lain, dan merencana solusi berdasarkan banyak asas pertimbangan. Tidak melihat dari satu sisi, namun dari pelbagai perspektif. Mereka menjadi insan perasa yang banyak menyimpan rasa yang dalam, kelihatan kuat dari luar, cuba tampil berkeyakinan setiap saat dan ketika, namun hati mereka sebenarnya remuk rendam. 

Mereka juga insan biasa. Hargailah mereka yang telah banyak berkorban demi melihat orang lain bahagia. 

P/s: Khas buat seorang kenalan: Tak salah berkorban, tapi jangan sampai terkorban. Tak salah menjadi diri sendiri, tapi kuatkanlah hati. Asas kepada sebuah ketegasan adalah pendirian yang kuat. Pembinaan pendirian yang teguh, bermula dari hati yang kukuh. Keyakinan pada janji Yang Maha Esa, adalah sebenar-benar keyakinan kerana hanya janji Allah sahaja, merupakan sebuah janji yang pasti~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails