Pages

Tuesday, October 15, 2013

Siswa/i Pendidik IPG tidak kompeten? Apa Peranan?



Dalam mendepani cabaran semasa, satu persiapan penting yang perlu ada dalam setiap mahasiswa pendidik adalah menyedari cabaran yang perlu di hadapi oleh mereka. Berdasarkan pengalaman mengikuti latihan yang disediakan di IPG, apakah cabaran yang ada dan bagaimanakah pendekatan yang digunakan dalam menghadapi cabaran berkenaan?

Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan 1, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin pernah berkata bahawa “ Guru mesti melengkapkan diri dari sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek” . Hal ini berkait dengan etika keguruan iaitu penampilan atau personaliti. Kenyataan ini telah dipetik daripada artikel ‘Negara Perlu Guru Berkualiti’ petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mac 2011.
Isu dan cabaran merupakan dua perkara yang berbeza. Isu merupakan perkara pokok atau persoalan yang dibincangkan. Satu isu yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan siswa pendidik kita mutakhir ini ialah isu penempatan guru pelatih.
Penghapusan Jaminan Guru Pelatih

"Pada masa ini, guru pelatih IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh Rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Penghapusan jaminan pelantikan ini bertujuan memastikan penetapan keperluan kualiti minimum bagi guru baru."

(dipetik dari RMK10-Bab 5,m/s:21)
Hadirin yang dimuliakan.
Tujuan saya membawa isu ini untuk dibicarakan, bukan untuk mempersoalkan dasar mahupun ketetapan yang tertulis. Tetapi untuk sama-sama kita renungkan cabaran yang bakal kita hadapi di sebalik isu yang ada timbul. Sejak tahun 1997, dua cabaran pendidikan alaf baharu yang kerap diutarakan dalam persidangan nasional ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani. Maka, IPG juga sebenarnya tidak terkecuali dalam berhadapan dengan cabaran semasa ini.


Cabaran 1:
Mengenali dan memahami dinamik sasaran, gelanggang dan iklim persekitaran.

Sebenarnya, hal ini merupakan satu permasalahan yang sangat kritikal untuk kita analisis bersama. Persoalan yang selalu ditimbulkan ialah, adakah Mahasiswa IPG kompeten? Jadi saya buka kembali persoalan ini kepada sekalian siswa pendidik yang hadir pada hari ini. Kelebihan kewangan dengan elaun yang diberikan, waktu pembelajaran yang tidak sepadat mahasiswa di IPTA, jaminan pekerjaan telah mewujudkan satu ‘zon selesa’ kepada siswa pendidik IPG. Sekali di uji dengan isu penempatan, kita mula menyedari yang kita tidak lagi berada di zon itu. Bagi yang masih berada di sem awal, masih banyak yang boleh dilakukan. Tetapi bagi yang berada di semester akhir, hanya Allah yang dijadikan tempat sandaran.

Sebelum ini, kesedaran dalam kalangan siswa pendidik untuk berpartisipasi (melibatkan diri) dalam program keilmuan mahupun menganjurkan program sebagaimana diusahakan pada hari ini begitu kurang. Kita banyak berharap kepada program Bina Insan Guru (BIG) dan penyertaan terhadap program anjuran kampus juga tidak mendapat sambutan secara menyeluruh. Kita yang ada di sini pada hari ini, walaupun berlainan kampus, tetapi saya yakin dan pasti, masalah di peringkat kampus kita tidak jauh berbeza.

Bibit-bibit kesedaran untuk memperjuangkan isu secara berpusat telah pun berlaku apabila terjadinya sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama. Namun, satu usaha yang efektif belum cukup kuat untuk kita menampilkan satu suara bersama mewakili siswa pendidik secara keseluruhannya. Rentetan usaha yang telah kita lakukan sepanjang tempoh kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar sesi 2013/2014.

Cabaran 2: Menguasai pelbagai teknik dan teknologi secara profesional dalam menyumbang khidmat bakti (jurubicara ummat)

Bekas yang kosong tidak akan mengisi bekas yang lain. Oleh itu, mahasiswa pada hari ini. Tidak kira di IPG mahupun di IPTA dan IPTS harus melengkapkan diri dengan pelbagai teknik dan teknologi dalam menyumbang khidmat bakti. Sebentar tadi kita telah dibentangkan dengan realiti masyarakat kita pada hari ini. Globalisasi pada hari ini sangat berimpak besar terhadap sistem pendidikan di negara kita. Kita tidak boleh menolak globalisasi hanya semata-mata ianya dimulakan oleh orang Barat. Banyak aspek-aspek yang bermanfaat yang boleh kita ambil serta  dalam masa yang sama kita berwaspada terhadap sumber yang tidak memberikan manfaat.

Pelbagai teknik yang dimaksudkan bukan sekadar ilmu dan kemahiran untuk menjadikan kita sebagai bakal pendidik, tetapi juga sebagai juru bicara ummat. Golongan muda yang masih lagi kuat tubuh badannya, cekal semangatnya, harus bersedia untuk mewakili masyarakat dalam mendepani masalah yang berlaku. Masyarakat memerlukan anak muda yang boleh membetulkan segala kepincangan sosial yang berlaku. Kita tidak boleh lagi terus meletakkan diri kita dalam situasi pengguna kepada teknologi semata-mata. Anak muda bukan lagi pengikut trend, bahkan harus berimpian menjadi pencetus trend. Trend yang harus dicetuskan ialah trend budaya ilmu dalam semua aspek kehidupan.

Umat Islam, mempunyai tradisi ‘litaarafu’ atau kekenalan yang mempunyai maksud yang sangat luas. Tradisi ini membolehkan umat Islam mengenal, dan berkongsi sesuatu yang baik dan bermanfaat dari orang lain. Tamadun Cina umpamanya adalah peneroka dalam bidang pembuatan kertas dan penghasilan mesin cetak. Sebelum ini orang Islam menulis di atas daun-daun, pelepah dan kulit-kulit, ianya menjadi sesuatu yang bermanfaat. Al Khawarizmi, ahli Matematik Islam memperkembangkan asas angka secara kreatif dengan memperkenalkan konsep algebra, alghorithm dan lain-lain kepada dunia Islam dan Barat. Manakala Ibnu Battuta pula mengelilingi banyak benua telah menghasilkan penulisan menceritakan perjalanan kisah kehidupan dan budaya di tempat  lain untuk panduan dan manfaat ramai orang.

Cabaran 3: Melahirkan pewaris kepimpinan dan pembangunan negara yang cemerlang.

Setiap yang diciptakan, pasti ada hikmahnya. Dijadikan minyak, gas, uranium, dan lain-lain yang bersifat benda mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri. Bahan yang telah disebutkan sebentar tadi penting untuk menjana kemajuan dan perubahan. Begitu juga dengan manusia, apabila segala kelebihan yang ada pada dirinya sebenarnya dapat dijadikan sebagai ‘modal’ untuk manfaat sekeliling. Pembangunan dan penyuburan modal insan bermaksud bagaimana diri insan dibangunkan berbekal dengan kekuatan ilmu dalam acuan pendidikan yang mampu mengangkat martabat penyelidikan, ketrampilan yang bercorak sains dan teknologi hingga membolehkan manusia menguruskan menguruska sumber rahmah dan nikmah yang dikurniakan Allah. Al-Quran memberi keutamaan kepada pembangunan insan kerana seorang insan yang baik akan bermanfaat kepada orang  lain. Sebagaimana Rasulullah yang telah dibangunkan karakternya dengan qudwah ataupun contoh ilmu serta kebijaksanaan.

Modal insan menurut kaca mata Islam ialah bagaimana potensi insani seperti akal, hati, dan jasmani dijadikan sumber kekuatan mengurus diri dan mengurus sistem. Maka, menjadi tungas utama bakal guru untuk menyedari klien yang perlu disantuni merupakan modal insan bakal pewaris kepimpinan dan pembangunan negara yang cemerlang. Apabila masuk ke kelas sewaktu praktikum, satu perkara yang kita harus sama-sama sedar ialah, kita sebenarnya sedang berhadapan dengan pemimpin negara 30 ke 40 tahun akan datang. Dalam kalangan murid yang kita didik mungkin ada yang akan menjadi orang no 1 dalam negara. Boleh jadi orang yang paling penting dalam negara ataupu penjenayah paling dikehendaki.

Negara-negara maju di Barat telah sekian lama menjadikan faktor pembangunan modal insane sebagai matlamat pendidikan mereka di segenap peringkat. Strategi pendemokrasian pendidikan, pendidikan sepanjang hayat, pendidikan komuniti, pendidikan jarak jauh adalah antara strategi yang telah memberikan sumbangan terhadap pembangunan modal insan. Jiran terdekat kita iaitu Singapura, tidak mempunyai hasil bumi yang banyak tetapi mempunyai modal insan berkualiti.

Sekiranya kita membelek sejarah, melalui kisah Sultan Muhammad Al Fateh, kita dapat melihat usaha-usaha yang dilakukan oleh ayah dan para pendidiknya. Beliau melalui proses pendidikan yang cukup hebat. Bukan sekadar kemampuan intelek, bahkan diasuh dengan pelbagai strategi peperangan, diperhatikan amalan seharian, dan mempunyai kemahiran berpidato yang mengkagumkan. Tiada siapa menyangka, bahtera boleh belayar di daratan. Hanya modal insan yang berkualiti mampu menjana pemikiran yang tidak terlintas di fikriran orang lain. Pemikiran dalam kerangka kesedaran beragama dan nilai.

Cabaran membina modal insan pewaris kepimpinan negara ini cukup getir dalam situasi masyarakat yang pincang akhlaknya. Anak-anak dididik dengan baik di sekolah tetapi disebabkan oleh faktor luar seperti pengaruh rakan sebaya, ibu bapa yang lepas tangan, dan masyarakat yang bersikap ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Guru sewajarnya kembali berperanan seperti guru dahulu yang sangat diperlukan dalam masyarakat. Turun ke medan masyarakat, dan cuba menyelesaikan konflik permasalahan masyarakat dengan sentuhan keguruan: menyampaikan kepada hati yang mengawal keseluruhan anggota.




KESIMPULAN
Benih yang baik, dilempar ke laut menjadi pulau. Dilontar ke darat menjadi gunung. Begitulah resminya modal insan yang bermanfaat kepada orang lain. Kita sebagai mahasiswa tidak boleh mengharapkan 100 % sistem di IPG, IPTA, IPTS dapat menjadikan kita sebagai ikon pendidik yang hebat pada peringkat awal kita terjun ke medan sebenar pendidikan. Kita akan berhadapan dengan situasi, diberikan tugasan yang tidak pernah kita tahu cara mengendalikannya sebelum ini, kemahiran yang tidak sempat kita kuasai sepanjang latihan, maka apabila situasi ini berlaku, teruji kebolehan sebenar kita sebagai bakal pendidik.

Ya benar, kita dibentuk dalam acuan yang sama. Tetapi harus kita ingat, acuan yang sama akan menghasilkan bentuk yang sama. Rupa bentuk fizikal yang sama. Kemana-mana mudah di cam sebgai guru walaupun masih bergelar siswa pendidik.

Tetapi bentuk yang sama, tidak menjamin rasa yang sama. Mungkin akan ada kuih yang manis, mungkin ada termasin. Mungkin ada yang boleh dikomersilkan, mungkin juga hanya sekadar buat makan-makan di waktu petang.


Kerana apa? Kerana ada beza antara orang yang berinisiatif dengan orang yang sekadar menunggu. Maka sahabat-sahabat, di mana kita? Sama-sama kita fikir dan renungkan kembali. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails