Pages

Friday, January 10, 2014

Understanding women

Bismillahi wal hamdulillah.

Apabila kelapangan mula menjengah, kita akan menjadi rindu kepada sebuah kesibukan. Sedangkan apabila kesibukan meribut, kita cuma mengharapkan segalanya selesai dengan baik. Sesungguhnya saya berterima kasih kepada insan-insan yang sudi untuk mengajukan soalan agar dengannya saya menghabiskan waktu dengan berfikir.

Ada soalan yang sangat menarik diajukan kepada saya yang saya ringkaskan untuk bagaimana memahami muslimat. Ianya soalan yang sukar untuk diperjelaskan dengan teliti, berdasarkan statistik mahupun fakta dalam mana-mana buku. 



Hehe... Epik sungguh rasanya gambar ni. Tapi itulah hakikatnya. Sedangkan saya yang sejenis ini pun sukar memahami sekeping hati milik wanita, apatah lagi yang namanya lelaki. Ternyata, terdapat hikmah yang lebih besar yang Allah ingin berikan. Apabila saya memulakan pencarian atas talian, terdetik di hati ini:

"Mengapa tidak aku mencari dengan menggunakan istilah 'memahami muslimat'. Rasanya itu lebih menepati persoalan."

Lantas saya meneruskan carian. Nyata sekali, memahami muslimat itu dipisahkan oleh satu perkataan yang mempunyai maksud yang cukup signifikan iaitu PERANAN menjadikan ayat yang sepatutnya ialah 'memahami PERANAN muslimat' . Mulianya seorang perempuan dengan menyandang gelaran muslimat, menjadikan Islam sebagai CARA HIDUP sehingga akhirnya dia mampu berperanan.

Maka saya kira, ada ketikanya saya menjawab persoalan dengan tidak mengambil kira Islam sebagai pelengkap perempuan itu. Saya khilaf. :'(

Sedangkan dijadikan mulia seorang perempuan itu apabila hadirnya Islam yang diterjemahkan melalui akhlak Rasulullah. Kisah yang selalu kita dengar sebagaimana berikut.

Suatu hari ketika berjalan, Rasulullah melihat bahwa wanita tua yang suka menyakiti baginda Rasulullah tidak ada di tempat biasanya. Di tempat yang biasa baginda lalui selalu saja wanita itu menaburkan duri dan najis. Baginda Rasulullah kemudian bertanya kepada orang perihal wanita tua itu. Ternyata wanita tua itu telah jatuh sakit. Tiada seorang pun menziarahinya Lalu baginda Rasulullah datang menziarahinya. Dibawanya hadiah.

Ketika berjumpa Rasulullah, wanita tua itu menyangka bahwa Rasulullah akan balas dendam dengannya. Wanita tua itu berkata, " Wahai Muhammad (dia memanggil Rasulullah dengan Muhammad saja), engkau hendak membalas dendam kepadaku ya! Mentang-mentang aku sakit?"

Baginda Rasulullah menjawab, " Tidak, saya dengar Ibu sedang sakit, saya datang untuk ziarah. Ini ada hadiah untuk Ibu".

Maka menangislah wanita tua itu dan berkata, " Baru aku tahu bahawa orang yang paling aku tentang itu adalah orang yang paling baik."

Akhirnya wanita tua itu masuk Islam. Halus benar akhlak baginda Rasulullah, sebab itulah perjuangannya cepat berhasil. Akhlaklah yang berperanan penting. Orang bisa masuk Islam hanya karena terpikat oleh akhlak beliau. Inilah yang sepatutnya dicontoh oleh pejuang-pejuang akhir zaman.

Lihat, sungguh tepat sekali. Hanya dengan Islam, martabat seorang perempuan diletakkan pada tempatnya tanpa dizalimi oleh eksploitasi ataupun idea feminisme yang kononya ingin menyamatarafkan lelaki dan perempuan.

Rasanya sungguh tak layak untuk meneruskan tulisan ini sehingga ke isi berikutnya. Terasa kepoyoan kuasa dua. Tapi kalau tak tulis, makin terasa tulisan tu berlegar-legar dalam kepala. Berpusing bagaikan ada perkara yang tidak selesai. Suka untuk saya menyimpulkan persoalan apakah yang diinginkan oleh seorang muslimat daripada bakal suaminya. Jawapannya cumalah:

Dia cuma mahu diberikan peranan yang selayaknya. Peranan sebagai hamba Allah, sebagai isteri, sebagai anak kepada ibu bapanya, kepada ummi kepada anak-anak kalian, mungkin juga peranan dalam masyarakat dan agama. Itu sahaja yang dia mahukan.

Teringat saya kepada buku tulisan Pahrol Mohd Juoi melalui perbualan penulis dengan Mak Langnya yang membekas di hati saya sehingga kini. Saya salinkan bulat-bulat tanpa edit.

Dalam dialog yang pertama:

"Mak Lang tak pernah bayangkan suami Mak Lang mesti begini dan begitu... Hati Mak Lang terima bulat Pak Lang kamu sejak di akad nikah. Yang Mak Lang fikir, macam mana Mak Lang perlu buat bila dah kahwin nanti... Kena masak, kena jaga rumah, kena layan suami, kena didik anak... Mak Lang sedia itu sahaja. Mak Lang fikir singkat sahaja. Tak pandai pasang angan-angan."

Manakala dalam dialog kedua:

"Apa falsafah hidup Mak Lang?"
"Mak Lang tak pandai. Mak Lang hanya buat apa yang Mak Lang patut buat. rasanya Pak Lang pun begitu. Rasa kami sama, sebab selalu bersama.
"Tapi ada orang selalu bersama, tapi rasa mereka tetap tak sama.... Kenapa Mak Lang?"
"Tak tahulah pula. Tapi mak Lang dulu selalu buat macam ni... Mak Lang selalu fikir apa yang Pak Lang rasa, bukan yang Mak Lang rasa. Kalau keadaan macam ni, macam mana Pak Lang buat. Kalau macam tu, macam mana pula Pak Lang bertindak. Entahlah, akhirnya Mak Lang rasa : Dalam diri Mak Lang, Mak Lang tak ada... yang ada cuma ada Pak Lang."


Hoho, memang susah sangat nak capai ke tahap Mak Lang. Seriously. Teori memang mudah, praktiknya belum tentu. Itu prinsip Steven Covey 'Seek to understand than to be understood'.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebajikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat ke pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Maksud Surah al-Taubah(9):71).


Nota kaki: Sekiranya ayat ini ditadabbur dengan mengambil kira pembentukan baitul haraki, pasti berjumpa dengan jawapan kepada semua persoalan. Tiada yang lain diharapkan dalam sebuah baitul haraki melainkan keberkatan dan mardhatillah. Retorik ke semua ni?

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails