Wednesday, May 30, 2012

TP 00 (my expectation)

PERNYATAAN PROFESIONAL: SEBELUM PRAKTIKUM

“Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang.” – Cecil B. De Mille

Lantaran itu, dalam apa jua pekerjaan sekalipun, adalah sangat penting untuk kita menetapkan matlamat. Pekerjaan tanpa matlamat ibarat memburu tanpa sasaran. Natijahnya, masa dihabiskan, namun sifar hasil. Praktikum Fasa 1 ini merupakan satu titik mula yang penting dalam hidup, maka saya telah menetapkan tiga matlamat utama dalam usaha memastikan ianya mendatangkan impak yang besar kepada permulaan karier saya sebagai pendidik.

Matlamat yang pertama ialah saya ingin meningkatkan kemahiran berkomunikasi saya dengan golongan kanak-kanak (murid sekolah) dan juga golongan dewasa (para guru dan juga staf sokongan). Komunikasi merupakan satu proses untuk membina atau berkongsi makna dalam kumpulan atau syarahan. Komunikasi lisan memerlukan kedua-dua pihak memelihara aspek kesantunan dalam berbahasa. (Kajian Verdeber dan Verdeber, 2002). Satu kelemahan saya ialah, tidak tahu cara yang terbaik untuk mendekati kanak-kanak. Pemilihan diksi yang digunakan dalam berbahasa, kadang kala tidak tepat dan sesuai. Kadang kala bahasa terlalu rendah, kerana kebiasaan berhadapan kanak-kanak pendidikan khas, kadang-kadang pula tinggi kerana kelaziman berucap di khalayak guru pelatih Institut Pendidikan Guru. Manakala kekurangan isu dan topik pula membataskan komunikasi dengan golongan dewasa.

Pelbagai lapisan masyarakat

            Maka, jangkaan saya terhadap matlamat yang telah ditetapkan pula ialah saya yakin dan percaya ianya akan sukar pada peringkat awal. Bukan senang untuk berkomunikasi dengan golongan yang berlainan wacana dengan kita. Juga sukar untuk menyukai secara jujur, sedangkan kita juga ada pandangan kita sendiri. Apapun, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Saya menjadikan bapa tersayang sebagai idola saya. Dia sentiasa tahu mempelbagaikan pendekatan apabila dia berhadapan dengan golongan yang pelbagai. Tanpa sedar, secara tak langsung dia mendidik saya. Oleh itu, saya akan cuba pelbagai cara untuk mendekati warga sekolah dan memanfaatkan apa jua medium untuk membina hubungan yang baik dengan warga sekolah.

Rasulullah sallahu a’laihi wasallam (s.a.w) merupakan ikon terbaik dalam komunikasi. Matlamat saya yang kedua pula ialah cuba untuk bercakap dari hati. Saya yakin kepada satu perkara iaitu tutur yang datangnya dari hati, akan sampai jua kepada hati. Abu Daud meriwayatkan daripada Aisyah radiallahu anhum (r.a) , katanya “Adapun kalam Rasulullah merupakan suatu kalam yang menjadi pemutus (jelas), difahami oleh semua orang yang mendengarnya”. Saya tahu, amat mustahil untuk menjadi sebagaimana baginda Rasulullah, namun saya ingin sentiasa cuba meningkatkan kemahiran pengucapan saya supaya menjadi lebih baik dari masa ke masa. Hal ini kerana, pengucapan yang baik mampu menarik hati-hati kepada pengamalan nilai-nilai murni. Itulah hasrat terpenting dalam dunia pendidikan. Membentuk manusia yang cemerlang secara holistik. Hati sebagai suis utama yang akan menggerakkan anggota badan mesti sentiasa dididik dan orang yang mendidik itulah yang seharuslah terlebih dahulu, elok hatinya.

Saya menjangkakan saya berkemungkinan akan berhadapan dengan cabaran yang besar dalam usaha merealisasikan matlamat saya yang ini. Meskipun sekarang ini saya sememangnya berada dalam proses untuk membina matlamat ini dalam kehidupan, namun saya masih belum yakin sepenuhnya ianya akan tercapai dalam masa terdekat, bahkan bakal mengambil masa sepanjang kehidupan saya untuk menjadikannya sebagai kenyataan. Tetapi, saya tidak mahu kalah sebelum berjuang. Maka, saya menetapkan satu matlamat jangka pendek iaitu saya akan cuba untuk mengamalkan konsep berfikir sebelum bercakap dan memenangkan akal berbanding emosi sepanjang tempoh saya berpraktikum. Konsep ini akan dipraktikkan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.

Cikgu, didiklah kami.. :')



Matlamat saya yang terakhir ialah untuk mendalami budaya sekolah yang baik untuk dijadikan sebagai panduan dan pengalaman yang berharga. Setiap sekolah mempunyai satu suasana dan budaya yang tiada pada sekolah lain. Keunikan yang ada pada sesebuah sekolah akan menjadikan ianya istimewa berbanding sekolah lain. Sememangnya sudah menjadi kebiasaan saya, saya akan banyak memerhatikan budaya sebelum membiarkan saya teradaptasi dengan budaya tempat saya belajar mahupun ditempatkan. Saya akan diam meneliti dan mula membina set minda saya sendiri. Hal ini penting, seperti kata pepatah Melayu, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Saya mesti cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekolah.

Kesemua matlamat yang saya sasarkan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk saya menghayati jiwa seorang pendidik. Kesemua elemen sebagaimana yang telah saya nyatakan akan saya peroleh dengan benar-benar memanfaatkan sebulan ini dengan sehabis baik. Pokok utama adalah, saya akan membina pengalaman baru tentang pengendalian kelas dan pengurusan pelajar yang merupakan elemen kemahiran terbaik yang perlu dikuasai oleh seorang guru. Saya juga bakal mempelajari dan cuba memahami warna-warni dunia pendidikan khas secara lebih mendalam. Saya yakin, ianya tidak akan sama dengan situasi yang pernah saya alami semasa mengikuti pengalaman berasaskan sekolah sebanyak empat kali sebelum ini. Saya teruja dan dalam masa yang sama agak sangat khuatir tentang kesesuaian pembawakan watak sebagai seorang guru yang perlu saya mainkan. Apapun, saya yakin yang saya hanya akan menjadi diri saya sendiri dan mencari pengalaman dan kepuasan sepanjang praktikum ini dengan cara saya.

Kids, here i come. I might not the best, but I'll to give my very best.. :)

Harapan saya agar, segala matlamat yang saya tetapkan sepanjang praktikum ini akan tercapai dalam usaha untuk membentuk diri saya yang memenuhi Falsafah Pendidikan Guru. Saya tidak mahu menjadi guru biasa, saya mahu menjadi guru yang mendidik. Ianya satu perjalanan yang panjang yang berterusan. Saya telah pun bermula, maka tiada lagi tolehan ke belakang. Ianya harus diteruskan.

1 comment:

  1. sy scara peribadi kagum dgn komunikasi akak..keep it up akak..akak sbnrnya telah mmpu berkomunikasi dgn baik ,,tp maybe akak rasa mcm tu.jd,chaiyok akak.syaz doakan yg terbaik untk akak

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails