Pages

Sunday, November 21, 2010

SETEGUH PENGORBANAN

Assalamualaikum w.b.r

Salam dari seorang Umairah,

Tinta maya terlakar lagi,

Aidiladha 1431 H sudah melabuhkan tirainya,

Meninggalkan seribu satu kisah dan makna bagi yang mencari,

Apakah kita bakal ketemu Aidiladha 1432 H,

Wallahu’alam... Allah lebih mengetahui....


Saya dibesarkan di Pantai Timur dan seperti kata kebanyakan orang, sambutan Aidiladha di Pantai Timur adalah meriah. Saya sebenarnya tidak pasti apakah definisi meriah pada pandangan mereka tetapi sekiranya meriah yang dimaksudkan adalah semeriah sambutan Aidilfitri di sesetengah negeri, jawapannya sudah tentu sekali tidak. Saya lebih suka mengatakan sambutan Aidiladha sebagai ‘hidup’ kerana masih ada usaha untuk menghidupkannya dengan amalan korban dan amalan-amalan sunat yang lainnya. Saya juga tidak pasti adakah amalan ini masih lagi diteruskan disebabkan penghayatan ataupun sekadar warisan. Bukan hak kita untuk menentukan tetapi mudah-mudahan kerana penghayatan kerana hanya dengan penghayatan, semua perkara yang dilakukan adalah atas dasar kefahaman. Mudah-mudahan kefahaman yang jelas memandu ke menuju mardhatillah. Amin....

Di sebalik Aidiladha, ada kisah yang sudah biasa kita dengar iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim a.s untuk ‘menyembelih’ anaknya Nabi Ismail a.s. Melalui peristiwa ini, dapat kita singkap kepatuhan seorang pesuruh Allah yang menerima perintah Tuhannya yang disampaikan melalui mimpi tiga kali berturut-turut. Lalu sang anak pula, tidak mempersoalkan amanat Allah ini. Dengan rela hati, bersedia meletakkan nyawanya di hujung torehan pisau tajam ayah tercinta. Namun, siapa yang dapat menjangka aturan Allah s.w.t. Tempat Nabi Ismail digantikan dengan seekor haiwan syurga iaitu kibas. Lalu bermulalah amalan korban sebagaimana yang diteruskan oleh masyarakat Islam seluruh dunia pada hari ini.

Pengorbanan. Lebih senang disebut berbanding melaksanakan. Itu adalah rasa saya. Mungkin ada yang sudah biasa berkorban, mendahulukan orang lain berbanding kepentingan sendiri, setiap masa. Subhanallah. Allah itu Maha Hebat. Diciptakan di dunia ini ada insan-insan yang memiliki jiwa pengorbanan yang sangat teguh. Dalam kebanyakan kisah insan-insan mulia, pasti disebaliknya ada jua wanita yang tidak kurang hebatnya. Begitu juga dengan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini. Di antara mereka ada sekuntum mawar yang wanginya mekar sepanjang zaman. Dialah Siti Hajar, Ibu Bangsa Arab. Dalam kisah korban Nabi Ismail, kita tidak nampak peranannya kerana pada ketika itu, wanita cekal ini sudah di alam baqa’. Dialah isteri kepada Nabi Ibrahim dan ibu kepada Nabi Ismail.

Dialah seorang ibu yang sarat dengan pengorbanan kerana tidak mungkin pada mana-mana zaman sekalipun seorang ibu sanggup melihat anaknya terkapar-kapar di hadapan matanya, menggelapar menghadapi maut. Benar, seorang ibu dianugerahkan dengan naluri kasih sayang yang amat tinggi sehingga mereka tidak akan sanggup melihat waima luka kecil pada tangan anak-anak mereka. Lihat sahaja fenomena buang bayi yang menggemparkan negara beberapa ketika, mana ada ibu yang sanggup menyaksikan kematian anaknya lantas dia lebih rela membiarkan anak mereka mati seorang diri.

Kita soroti kisah hidup Siti Hajar. Bermulanya nama dia dikenali dalam sejarah Islam apabila dia menjadi isteri kedua kepada Nabi Ibrahim. Pada zaman Heksus, berlakulah kemarau di muka bumi. Maka Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya telah berpindah ke Mesir. Raja Mesir pada ketika itu mengingini Siti Sarah (isteri pertama Nabi Ibrahim) untuk berkahwin dengannya, tetapi pada akhirnya dia mendapat tahu melalui mimpinya, bahawa Siti sarah itu sebenarnya isteri Nabi Ibrahim, maka dikembalikan Siti Sarah kepada Ibrahim dan dimuliakan. Kemudian Raja itu telah menghadiahkan seorang gundik bernama Siti Hajar. Oleh kerana merasakan dirinya sudah tua dan tidak boleh melahirkan anak, maka Siti Sarah mengahwinkan Siti Hajar dengan suaminya.

Sifat cemburu sinonim dengan wanita dan Siti sarah tidak terkecuali daripada memilikinya. Apatah lagi apabila Siti Hajar sudah mengandungkan Nabi Ismail. Akhirnya, pada suatu hari Nabi Ibrahim mengajak Siti Hajar keluar, lalu mereka menuju ke arah selatan. Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah.

Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:

"Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"

Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini."

Nabi Ibrahim menjawab: "Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..."

Siti Hajar bertanya lagi: "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"

Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah."

Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.

Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.

Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami," kata Siti Hajar.

Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa:

"Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu." (Surah Ibrahim Ayat 37)

Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar.

Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku.

Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali.

Anaknya Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana.

Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air.

Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Tubuhnya keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail.

Pada waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Makkah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Makkah menjadi tumpuan manusia.

Subhanallah sungguh tinggi pengorbanan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar. Tidak tertanding oleh kita. Maha suci Allah yang menciptakan orang-orang hebat yang sanggup berkorban agar kita dapat mengambil iktibar. Kita ini kadang-kadang, baru tertimpa ujian yang kecil sudah pun melatah. Saya tidak maksudkan orang lain, saya juga begitu. Kita terlalu berkira untuk banyak perkara kecil contohnya tidak sanggup untuk menyedekahkan seringgit dua buat teman-teman yang ditimpa musibah, tetapi kita boleh berhabis banyak wang untuk berbelanja keperluan dan kehendak kita hingga lebih dari yang sepatutnya. Fikir-fikirkanlah...

Rujukan:

  1. 100 Tokoh Wanita Terbilang suntingan Syed Ahmad Semait
  2. http://www.ukhwah.com/print.php?sid=864


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails