Pages

Sunday, November 21, 2010

Bila Tiada SABAR...

Assalamualaikum w.b.r

Salam dari seorang Umairah,

Sabar itu, boleh jadi kata nama kalau nama orang tu SABAR, SABRI, atau SABARIAH. Boleh jadi juga kata kerja kalau ianya berupa pelahiran kata SABAR dalam nada memujuk atau pun dengan niat untuk mententeramkan dan boleh jadi kata sifat sekiranya individu tertentu memang penyabar orangnya.

Macam biasa, cakap kata SABAR memang senang, tapi bukan senang nak buat. Sabar bukan sesuatu yang kita boleh nampak.Tapi ianya sesuatu yang boleh kita rasa dan kita nikmati.


Sesungguhnya Allah cinta dan sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar...
..Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.“ [Al Anfaal:46]

Selalunya kita akan mendengar ayat-ayat klise seperti ini;

" Sabar aku ni ada tahapnya. Sampai bila aku nak sabar?? Dia sesuka hati buat aku macam ni. Selama ni aku sabar je melayan kerenah dia. Tetapi sekarang aku dah tak sabar lagi"


TAHAP SABAR

SAIDINA Ali r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: Sabar itu ada tiga:
 
  1. Sabar terhadap musibah, yakni sabar dan tidak marah terhadap musibah yang menimpanya, sebaliknya menerima dengan baik musibah itu.Maka Allah mencatatkan baginya yakni mentakdirkan atau menyuruh menulis di Loh Mahfuz 300 darjat, iaitu darjat tertinggi di syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi. 
  2. Barang siapa yang bersabar dalam taat yakni mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu, maka Allah akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana antara satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi terakhir. 
  3. Barang siapa bersabar daripada maksiat, yakni meninggalkan kerja maksiat, Allah akan mencatatkan baginya 900 darjat dengan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga sampai ke Arasy.
Jikalau dilihatkan kepada tahap-tahap sabar ini, tahap yang tertinggi ialah bersabar daripada maksiat. Kenapa agaknya ianya menjadi tahap yang tertinggi?? Cuba kita lihat kepada amalan-amalan kita sendiri, yang mana yang lebih banyak?? Amalan yang baik ataupun amalan yang tidak baik. Tepuk dada tanyalah iman.

Tetapi, untuk mencapai tahap sabar yang pertama itupun sebenarnya sudah cukup sukar. Perit sekali, bukan?? Walaupun kelihatan tenang di luar, tiada siapa tahu gelodak rasa di dalam. Seboleh-bolehnya kita cuba untuk tidak membiarkan orang lain mengetahuinya.

Namun AWAS!!!  Kita tidak boleh memendam rasa terlalu lama kerana ianya ibarat bom jangka, tiba masanya ia akan meletus. Saat itu, tersingkaplah segala kekurangan kita. Sudah fitrah, apa yang di peram akan masak dan apa yang dijerang akan menggelagak. Seperti juga lahar gunung berapi, tiada siapa yang menjangka, hanya empunya diri sahaja yang mengetahuinya.

Lalu adakah dengan cara mencanangkan segalanya buat tatapan umum dikira sebagai meluahkan rasa.?? Sehingga tersingkap segala keaiban sendiri, walhal kita dilarang untuk membuka keaiban diri. Astaghfirullahalazim.. Nauzubillahiminzalik.. Jauhkan hambaMu ini dari perkara-perkara yang di larang dan di tegah dalam syariat Islam.


ALLAH MAHA MENDENGAR


Berdoalah kerana DIA Maha Mendengar..

Ya, Allah Maha Mendengar dan kita tahu itu. Tapi sejauh mana kita meletakkan keyakinan pada asma Allah yang ini.?? Allah tahu apa yang dibisikkan oleh hati kecil kita dan dia Maha Mendengar keluh kesah hati kita. Percayalah Allah sentiasa ada saat semua orang sudah tidak menginginkan kita, memarahi kita, dan tidak bersetuju dengan kita. Sama-sama kita rendahkan diri dan hati serendah-rendahnya dan menyingkap segala duka rasa kita.

Allah bukan sekadar mendengar tetapi DIA akan menunjukkan jalan. Dalam pelbagai bentuk dan cara kerana hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Janganlah kita takut dan bersikap pesimis. Selepas kesusahan pasti muncul kemudahan dan bagi tiap-tiap persoalan pasti ada cara dan waktu yang sesuai untuk mengatasinya. Ianya kerana, Allah sentiasa ada untuk mengawasi gerak laku dan masalah kita sedangkan kita ini cuma hambaNya yang ibarat buah catur yang tunduk pada setiap aturanNya.



SABAR VS MARAH

Sebagai penutup, saya ingin kongsikan satu kisah yang pernah saya baca mengenai sabar vs marah. 

Diceritakan ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia seringkali menyakiti orang-orang yang ada di sekelilingnya. Dia sangat menyesali sikapnya dan ingin berubah lalu dia meminta pendapat dari ibunya untuk mengurangkan sikapnya itu

Ibunya yang berniat untuk memberikan pengajaran  lantas memberikan satu cadangan kepadanya;

Ibu : Beginilah anakku, setiap kali kamu marah dan menyakiti hati seseorang kami ketuklah sebatang paku pada dinding rumah ini. Dan setiap kali kamu menyakiti orang, kamu hendaklah meminta maaf kepada mereka. Setiap kali setelah kamu meminta maaf dan mereka memaafkan kamu, kamu cabutlah kembali paku yang telah kamu ketuk itu.

Walaupun tidak memahami tujuan suruhan ibunya itu, dia tetap melaksanakannya. Setiap kali dia memarahi orang, dia akan mengetuk paku pada dinding. Kemudian dia akan meminta maaf dan membuang paku yang telah diketuknya. Dia mendapati lebih mudah untuk mengetuk daripada mengeluarkan kembali paku berkenaan. Samalah juga keadaannya dengan situasi yang dihadapinya apabila ingin memarahi orang dan meminta maaf dari mereka. Lebih mudah memarahi dan menyakiti berbanding meminta maaf kerana tidak semua orang dapat memaafkannya dengan mudah. Akhirnya penuhlah dinding rumah itu dengan bekas paku yang telah dicabut dan dia mendapati sikap panas barannya sudah berkurang. Itu sangkaanya, lalu dia berbicara lagi dengan ibunya.

Anak : Ibu, lihatlah semua orang telah memaafkan saya. Saya sudah faham kenapa ibu meminta saya berbuat demikian. Sikap panas baran saya juga sudah mula berkurang. Terima kasih, ibu.

Ibu : Alhamdulillah, baguslah kalau begitu wahai anakku. Tetapi kamu terlupa satu perkara. Cuba kamu lihat pada dinding ini. Adakah keadaanya sama seperti sebelum ini.? Tidak sama bukan?? Ada bekas ketukan paku yang banyak pada dinding ini. Dinding ini kamu ibaratkan seperti hati orang-orang yang kamu sakiti. Memang mereka telah memaafkan kamu, tetapi masih ada bekas yang tertinggal di hati mereka. Mereka mungkin memaafkan tetapi sukar untuk melupakan.

Sekarang barulah si Anak insaf dan benar-benar sedar akan kesilapannya. 

Benar. Kita selalu juga dengar ayat ini. " I may forgive, but not forget"..

Jadi dikesempatan ini saya ingin memohon maaf andai andai ada teman-teman yang pernah terluka kerana tutur bicara saya yang mungkin mengguris sekeping hati milikmu. Mungkin juga ada tindak yang tidak sedap mata memandang, jua tulisan yang mungkin menjentik rasa... (=


Maaf ye sahabat-sahabat untuk semuanya.. (=
 Wallahu'alam..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails