Pages

Friday, December 31, 2010

Selamat Tahun Baru 2011


Bismillahirahmanirahim...
Assalamualaikum w.b.r...
Salam dari seorang Umairah...

Selamat pagi Jumaat yang indah, dengan renyai hujan yang masih berbaki. Hari terakhir di rumah untuk cuti semester pada tahun ini. Sama ada cuti terisi dengan baik ataupun tidak, tiada ruang untuk menyesal kerana semua itu sudah terlambat. 31 Disember 2010 juga merupakan hari terakhir untuk kalendar masihi bagi tahun 2010. Tirainya akan berlabuh tepat 11.59 malam ini, dan detik 12.00 malam akan membawa kita ke tahun 2011 yang belum diketahui akan ‘warna’nya. 


Sebenarnya, rasa takut dan bimbang turut menjengah. Risaukan corak sambutan pada malam ini yang akan menghanyutkan muda-mudi kita. Natijahnya, 7 hingga 9 bulan yang akan datang, dikhuatiri tubuh-tubuh kecil yang tak berdosa akan terus menghiasi dada-dada akhhbar. Nauzubillahiminzalik. Keterujaan menyambut tahun baru di luar batas syarak, mengundang ‘pembunuhan’ jiwa suci yang belum mengenal dunia. Lalu, salah siapa bila mana semua ini terjadi?

Pembangunan hiburan yang melampau, menjadikan sesetengah daripada kita begitu taksub untuk menjadi sebahagian daripada warganya. Apabila anak-anak tidak berjaya memasuki mana-mana rancangan realiti, ibu bapa menangis dengan hiba. Apabila tersingkir daripada sesuatu akademi, juraian air mata akan mengiringi kepulangan mereka. Apabila anak-anak memenangi sesuatu pertandingan nyanyian, tangis gembira tanda syukur. 

Oh Malaysiaku yang kaya dengan ‘air mata’. Di mana air mata kita saat bayi kecil mati digigit semut ataupun digonggong anjing? Di mana pula air mata kita disaat seusai solat menadah tangan mohon diampunkan dosa yang telah lalu serta bermohon kebahagiaan dunia akhirat? Sudah keringkah air mata kita ataupun apakah kita merasa, diri sudah cukup segalanya.?

Tahun 2010 menyaksikan rentetan suka, duka, pahit, manis, tawa, hiba dan memori yang berbeza buat setiap dari kita. Namun, tidak perlu duduk termenung mengenangkan apa yang telah berlalu. Apa yang ada di hadapan kita adalah hamparan peluang dan waktu yang belum terisi. Yang lalu biarkan ia berlalu, tidak kira walau apa pun melodi yang telah didendangkan. Pandanglah sekilas ke belakang, cuma sekadar buat renungan, dan teruskan derap langkah untuk maju kehadapan. Masih ada banyak persoalan yang perlu kita jawab dengan tanggungjawab yang makin bertambah. 

Semoga tahun 2011 menjanjikan 1001 yang terbaik untuk kita semua. Selamat Tahun Baru.... (=

- saat entri ini di'publishkan', mungkin penulis dalam perjalanan ke IPGKPM -

Sejenak di Kota Bharu


Bismillahirahmanirahim..
Assalamualaikum w.b.r...
Salam dari  seorang Umairah...

Bandar Kota Bharu telah ditinggalkan selama 4 tahun. Tamat sahaja SPM, saya tidak pernah pun memijakkan kaki di Bandar ini. Saya sebenarnya cukup rindu pada bandar ini. Apabila kita merindui sesebuah tempat, dengan perasaan ingin kembali pada tempat ini pada kesempatan yang akan datang, maksudnya tempat ini banyak memberikan makna dalam kehidupan kita. Bukan bererti kita tidak bersyukur pada tempat yang kita diami sekarang, cumanya tempat yang dirindui itu ada nilainya yang tersendiri dalam diri kita. Lima tahun menyulam kasih dan sayang disebalik gaduh manja bersama teman-teman sepersekolahan di bumi hijau Farisian, memperkenalkan saya kepada Bandar Kota Bharu. 

Singgah di Pasar Siti Khadijah untuk membeli dodol. Sumber: Google

Dua minggu sekali ataupun kadar waktu yang lebih kerap daripada itu, selalunya bersama Gg teman yang banyak berkongsi suka duka ataupun mentee tercinta Pyra akan keluar ‘outing’ (satu perkara yang disukai oleh kebanyakan budak asrama-keluar dari sekolah untuk melihat dunia luar... huhu). Sepanjang lima tahun, hanya Bandar Kota Bharu itulah tempat yang kami tuju. The Store, Mydin, MPKB, Zon Ria, Muda Osman, Fajar Bakti, kedai kain untuk beli barang Rumah Sukan (Rumah Razak yang selalunya nombor 1 dari belakang) dan beberapa tempat lain lagi. Itulah rutin kami. Ha, paling tak lupa kedai makan yang kat belakang tu.. (alamak, dah lupa la nama kedai tu... Sutera ke ah???).. Sedap makanan kat kedai tu, dan yang paling penting murah. Pedas ooo makanan dia, tapi sangat sedap. Dah besar agaknya anak tuan kedai tu. Dah jadi anak dara kot sekarang ni. (=

Nak dijadikan cerita 26 hb Disember yang lepas, saya berpeluang untuk ke Kota Bharu. Keluar bersama-sama sahabat seperjuangan dalam bidang pendidikan. Itupun secara tidak sengaja, kerana untuk membeli sedikit buah tangan di Pasar Siti Khadijah tanda melawat ke Kelantan. Tak lama pun, lebih kurang satu jam. Tetapi dah cukup untuk mengubat kerinduan pada bandar ni. Macam rusa masuk kampung. Bandar Kota Bharu is totally different. It is not the same as 4 years ago. Ok, mungkin saya agak ketinggalan dengan pembangunan Kota Bharu ini, tapi inilah realitinya. Saya sangat teruja, sampai saya tak tahu nak cakap apa. Oghe Kelate sila jangan gelak ye. Patut la dulu kawan-kawan cakap, Kota Bharu dah banyak berubah. Sangat berubah kot. Dah tak de dah tempat tunggu prebet zaman dulu-dulu. Hoho... I wish to go there again one day. 

Sangatlah besar Bandar Kota Bharu, kalah Bandar Kuala Terengganu. Jadi, siapa cakap Kelantan tak maju, nak kena ni. Kelantan maju dalam momentumnya yang tersendiri. Saya temui kedamaian dalam hiruk pikuk dan ramainya orang di Bandar Kota Bharu. Kepada yang suka sangat cakap Kelantan tak ada apa-apa, silalah ke negeri Kelantan dan lihat dengan mata serta fikir dengan akal. Kalau tak biasa, mesti akan sesat dalam Bandar Kota Bharu tu.. Hmmmm.... Dengan peruntukan yang tak banyak pun Kelantan boleh jadi maju. Semuanya dengan izin Allah. Allah kata jadi, maka jadilah. Bersyukurlah wahai warga negeri Kelantan dengan kurniaan Allah ini.

(Ini dah kira promote Kelantan dah ni-bukan senang tau... hmmm)

Dalam hati kecil sangat mengharap agar saya bertemu dengan muka-muka yang saya kenal. Tak dapat berbual panjang pun tak pe. Asalkan dapat bertegur sapa. Sayang sekali, tidak berkesempatan. Tak apalah, tiada rezeki mungkin. Walaupun saya bukan seorang rakyat negeri Kelantan, tetapi saya rasa gembira kerana diberikan kesempatan untuk mengenal banyak perkara selama 5 tahun di sini. Dari tahun 2002-2006. Mudah-mudahan, pada masa akan datang saya akan diberikan ruang dan peluang untuk melawat negeri ini. Nak beli tanah kat Kelantan, mimpi di siang hari la kan. Dengan kapasiti penduduknya yang ramai, mustahil sekali untuk dapat tanah kat Kelantan. Dapat melawat sekali sekala pun dah kira OK la. Sebenarnya Setiu dan Kota Bharu, bukannya jauh sangat pun. Kalau naik bus 2 jam lebih je, tapi itu la kan, ada halangannya. 

Terkenang zamn dulu-dulu. Kat sinilah tempat tunggu bus untuk balik kampung. Sumber: Google
Semoga negeri Kelantan terus maju dibawah kepimpinan Islam. InsyaAllah...

Thursday, December 30, 2010

Termakan Umpan???

Assalamualaikum w.b.r....
Salam dari seorang Umairah..

Anda suka memancing? 


Kalau soalan ini diajukan kepada saya, saya akan jawab;
"Tak tahu...., entahla sebab tak pernah cari pengalaman untuk memancing". Tapi sedikit sebanyak tahu jugalah sebab adik-adik ada yang suka memancing. Itupun bermusim. Kalau kawan-kawan mereka ada yang mengajak, mereka ikutlah. Falsafah disebalik memancing adalah kesabaran. Memancing memang menuntut kesabaran. Iya la. Bukan sebarangan orang yang dapat tunggu berjam-jam untuk mendapatkan seekor ikan. Kadang-kadang sampai berjaga malam. Tapi, kalau dapat banyak ikan, itulah satu kepuasan kepada yang memancing. Apatah lagi kalau dapat ikan yang besar. Mahunya mereka tersenyum lebar sampai ke telinga.

Hatiku senang sekali.. lalalala..... (=




Kalau nak memancing mesti nak ada umpan kan? Ciri-ciri umpan pula, mestilah semuanya menarik dari segi warna, saiz, dan juga jenisnya. Umpan yang digunakan pula, mestilah sesuai dengan sasaran kita iaitu ikan yang ingin dipancing. Sekarang kita tengok pula pada proses selepas pemancing melepaskan joran. Dia akan menanti dengan sabar. Sedang ikan didalam air, akan mengigit umpan itu sikit demi sikit. Apabila, joran mula bergerak-gerak, tanda adanya ikan, tukang pancing akan bersedia. Akhirnya si ikan tidak boleh menahan diri daripada memakan kesemua umpan. Akhirnya, ngaaap!!! Tewaslah si ikan tidak kira sebesar mana pun ia. Sekalipun, terlepas.... Ikan tersebut akan mengalami luka pada bahagian mulutnya.

Baiklah, cukup dengan aktiviti memancing. Sekadar ingin menggunakan pendekatan deduktif, sebelum masuk kepada pokok perbincangan. Antara sedar ataupun tidak, disekeliling kita ada bermacam-macam jenis umpan. Harta kekayaan, pangkat, nama, ganjaran, pujian, adalah beberapa contoh UMPAN yang akan mengakibatkan kita terperangkap. Semua yang tersebut adalah umpan yang nampak di mata, bagaimana pula dengan UMPAN YANG KITA TIDAK NAMPAK BAHKAN, KITA TIDAK SEDAR PUN AKAN KEWUJUDANNYA. Bahaya kan??? Kita akan terleka, dan hanya akan sedar apabila umpan ditarik.... dan tewaslah kita........

Hasil penat lelah memancing.. (=

Renungi kisah dibawah ini yang merupakan hala tuju perkara yang ingin disampaikan:
Asysya'bi berkata;
 
"Ada seorang bila ia berjalan dinaungi oleh awam.  Maka ketika berjalan ada orang berkata;  "Saya akan berjalan di belakang orang itu di bawah naungannya.  Tiba-tiba datang "UJUB pada orang yang bernauangan dengan awam itu dan berkata;  "Orang semacam itu akan berjalan di bawah naunganku!!!".  Maka berjalanlah keduanya,  kemudian ketika berpisah jalan,  mendadak naungan itu ikut pada orang yang dihina itu".

Hayati pula FirmanNYA dalam surah At-Taubah ayat 25:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan peperangan dan di medan perang Hunain iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur dan melarikan diri.

* Baca lebih lanjut mengenai Perang Hunain di sini. 


APAKAH UJUB???

Dalam kitab 'Penawar Bagi Hati' tulisan Syeikh Abdul Kadir, UJUB bermaksud memandang tinggi terhadap dirinya contohnya pada ilmu dan ibadat, dengan lupa bahawasanya semua itu adalah pemberian Allah s.w.t. Ujub merupakan batu asas kepada satu lagi penyakit hati iaitu takbur. 

KENAPA PENYAKIT UJUB PERLU DIJAUHI???
  • Ujub itu menyebabkan terhalangnya taufiq dan menghalang ia ta'yid daripada Allah Taala.  Bila tiada taufiq dan pemeliharaan dari Allah Taala,  maka tentu akan cepatlah dan mudahlah seseorang itu mendapat kecelakaan.
  • Ujub itu akan merosakkan amal soleh.  Menghancurkan semua ganjaran pahala,  malah memadamkan cahaya mata hati.
Baca selanjutnya penerangan ujub di sini (Info ini sangat penting untuk kita tahu dan faham, supaya tidak rosak dan sia-sia segala amalan yang kita lakukan)

Bagi orang-orang beriman, penyakit ujub sangat ditakuti kerana ianya boleh merosakkan amalan. Ianya memang sukar dielakkan. Melainkan bagi mereka yang betul-betul bermusyahadah. Sukar untuk ditentukan sejauh mana keikhlasan kita dalam perkara yang kita lakukan. Jadi, adakah bagi mengelakkan ujub, kita harus berhenti daripada melakukan ibadah ataupun mencari ilmu??

Sudah tentulah tidak, sebagai orang biasa, sukar juga untuk kita lari daripada ujub. Kita cepat perasan pada amalan yang kita lakukan. Tipsnya mudah sahaja. Sekiranya pada permulaan ibadah kita buat kerana manusia, berdoalah kepada Allah moga-moga segala amalan kita diniatkan hanya keranaNya. Doa merupakan senjata kepada orang mukmin. 

Pesan pada diri: Jangan sampai perasaan ujub menjadi seperi umpan yang akan merentap segala amalan yang kita lakukan sehingga kita pada akhirnya tidak lagi punyai apa-apa. Nauzubilllahiminzalik....

Wednesday, December 29, 2010

Anda Sudah Mendaftar?


Saya sudah mendaftar sebagai pemilih. Anda yang belum, bila lagi?

Pada 9 Disember yang lalu, genap usia saya 21 tahun, sekaligus melayakkan saya untuk mendaftar sebagai pemilih. Maksudnya, secara tak rasminya saya dah boleh mengundi dalam pilihan raya!!! Oh, rasa macam tak percaya. Cepatnya masa berlalu. Tapi setakat mana agaknya sumbangan yang telah diberikan kepada agama, bangsa dan Negara. Amal untuk diri sendiri pun masih belum cukup, inikan pula menyumbangkan pada yang lain. Itu, merupakan keluh kesah yang biasa kita dengar bila memperkatakan usia yang sedang menginjak naik (usia tidak akan pernah semakin berkurang). Tetapi, alangkah baiknya kalau sesuatu perkara itu, kita lakukan atas dasar kefahaman. Bagaimana caranya??? Jadikanlah ianya seiring. Binalah diri sendiri dan dalam masa yang sama,berilah sumbangan mengikut peranan yang kita mainkan. 

Kali ini, saya ingin menulis tentang peranan yang boleh dimainkan oleh remaja biasa termasuklah saya kepada Negara. Negara Malaysia yang kita cintai ini adalah tanah tumpahnya darah kita. Tak banyak pun, sikit jadilah. Kita mesti memberikan sumbangan walaupun sedikit. Dalam usia 21 tahun, kalau di Negara kita ini, mustahillah kalau nak jadi calon pilihanraya peringkat dun dan parlimen. Kalau di mana-mana institusi pengajian tinggi tu lain ceritalah. Oleh itu, bagaimana caranya yang terbaik untuk kita berperanan kepada negara? Kawan-kawan, paling tidak mampu sekalipun, berilah sumbangan dengan menanda X pada calon pemimpin kawasan kita. 
Jumlah daftar pemilih untuk suku ke-2

Tapi janganlah semberono sahaja menanda pangkah tanpa membuat penilaian terlebih dahulu kepada calon-calon berkenaan. Sebagai manusia, sememangnya bukan hak kita untuk menentukan siapa yang baik dan siapa yang tidak. Kadangkala pandangan mata kita boleh menipu. Tetapi kita telah dikurniakan akal untuk menentukan yang betul dan yang salah. Calon yang bertanding juga, bukanlah manusia yang sempurna tetapi antara beberapa calon yang bertanding pasti ada yang lebih baik berbanding yang lainnya. Pilihlah calon yang terbaik pengetahuan agamanya yang dapat  memberikan contoh yang baik untuk kita teladani peribadinya. 

Undi anda adalah rahsia....!!
Mendaftarlah sebelum 1 hb Januari 2011. Kenapa???

Kita kan tak tahu bila pilihanraya akan diadakan.  Walaupun mandat Barisan Nasional sehingga Mei 2013, tapi pelbagai jangkaan awal  sudah dibuat berdasarkan beberapa faktor semasa. Misal kata  la kan, pilihan raya buat tahun depan... Hanya yang mendaftar berusia 21 tahun dan ke atas yang mendaftar sebagai pemilih sebelum 31 Disember 2010 yang dibenarkan mengundi. Hingga suku ketiga tahun ini, seramai 11.53 juta rakyat negara kita telah berdaftar sebagai pemilih dengan jumlah pengundi baru seramai 177 857 orang. Jumlah 177 857 ini kebanyakannya mewakili pengundi berusia yang berusia 21-23 tahun pada tahun ini, dan mungkin juga disebabkan oleh faktor-faktor lain. Dibandingkan dengan jumlah penduduk negara kita yang dijangka mencapai 28.9 juta orang, jumlah daftar pemilih ini sudah boleh dikatakan sebagai tinggi. 

Bagi yang sudah mendaftar sebelum 30 September 2010, anda bolehlah menyemak daftar pemilih anda di sini
Jadilah pengundi yang bijak....

Jadi, tinggal 2 hari sahaja lagi untuk mendaftar. Cepat sebelum terlambat.!!! Anda boleh mendaftar di pejabat pos ataupun Pusat perkhidmatan PAS, DAP, UMNO, dan pejabat SPR berdekatan. 



Renungan: 

Ramai orang muda hari ini yang tidak suka untuk ambil tahu tentang politik kerana dikatakan politik itu kotor. Yang mengotorkan politik adalah individu-individu yang menyalahgunakan kuasa politik yang ada pada tangan mereka. Penulis sendiri bukan seorang yang pakar dalam politik, sekadar mengambil tahu beberapa perkara yang penting. Itu pun tidak semuanya. Tetapi, perlu kita ingat, kita adalah generasi bakal pewaris negara. Jalankanlah tanggungjawab kita sesuai kemampuan yang kita ada. Kalau tidak mampu menjadi pendokong ataupun pemimpin negara, jadillah penyokong pada pihak yang BENAR... Wallahu'alam.



Tuesday, December 28, 2010

Karenah Ibu Mengandung~~

Bismillahirahmanirahim...
Assalamualaikum w.b.r..
Salam dari seorang Umairah...

Lafazkanlah rasa syukur pada Ilahi, kerana kita telah dibesarkan oleh ibu bapa kita sehingga menjadi 'insan', kerana ada yang tidak berpeluang merasai semua itu. Kita telah diperlakukan selayaknya sebagai manusia, bukannya DIBIARKAN ditepi tong sampah, DILONTARKAN ke dalam tong sampah, DILEMPARKAN ke dalam sungai. Yang baik sikit, diletakkan ditangga masjid ataupun di depan rumah orang. Lazimnya, kerana anak ini lahir tanpa kerelaan, tanpa diri si ibu sendiri bersedia untuk menjadi ibu. Lantaran salah sendiri, bayi kecil yang baru menghirup bau dunia menjadi mangsa. Tidak dibenarkan hidup oleh ibunya sendiri. 

Teringat akan kisah Yukabid yang telah menghayutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Sang ibu yang diilhamkan berbuat demikian, moga-moga arus sungai Nil akan membawa utusan Allah ke tempat yang jauh, agar anak itu terselamat dari angkara Firaun yang kejam. Namun, takdir Ilahi menentukan segala-galanya. Peti yang mengisi Nabi Musa hanyut ke dalam kawasan larangan Firaun. Sekali lagi, Allah merencanakan yang lain. Dengan izin Allah, anak itu telah diselamatkan oleh permaisuri Firaun iaitu Asiah.

Yukabid seorang ibu yang penyayang, yang menghanyutkan anak kecilnya ke sungai kerana sayang yang menebal demi menyelamatkan nyawa anaknya yang dikasihi. Perbuatan menghayutkan anaknya itu, dibuat dengan teliti dengan meletakkan anaknya didalam peti. Malahan hati kecilnya begitu sayu untuk melepaskan bayinya itu. Disuruhnya pula Maryam memerhatikan ke mana arah hanyutnya peti itu. 

Saya pernah dengar satu fakta. Sama ada betul ataupun tidak kesahihannya, tak dapat dipastikan. wanita yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan yang sah, nikmat sakit melahirkan anak tidak akan mereka rasai. Tidak la pula saya tahu bagaimana rasanya mengandung ataupun melahirkan anak sebab tidak pernah ada pengalaman. Tapi macam-macam la kan ceritanya. Yang paling menyentuh hati bila ada yang cakap, "Melahirkan anak ini, merupakan sakit yang membahagiakan". Itu tak masuk lagi bab-bab alahan waktu mengandung. Tak boleh hidu makanan bergoreng, nanti muntah-munta, yang hilang selera makan, yang bertambah selera makan pun ada, yang mengidam macam-macam. Nak makan daging rusa hutan, nak makan durian belanda (waktu tu bukan musimnya), nak makan telur penyu (sekarang ni, penyu pula makin pupus), nak makan masakan suami je, tak nak orang lain masak dan macam-macam lagi. 

Hehe.. baiklah setakat itu sahaja mengenai ibu mengandung. Sebenarnya saya bukan nak bercerita mengenai perempuan yang mengandung, tapi betina yang mengandung. Betina??? Ini bukan kata nama yang menunjukkan seorang perempuan yang berperangai tidak elok, tetapi merujuk kepada haiwan berkaki empat, berdarah panas, dan....... sangat comel. Macam gambar kat bawah ni.....

 hoho.. Kucing ini sangat besar. Berapa agaknya berat kucing ni?

Kami sekeluarga ada memelihara seekor kucing betina, tidak bernama. Panggil Meow je, biasalah orang kampung. 'Master' kepada kucing ni ialah adik yang nombor 4, seorang pencinta haiwan. Rasanya, dia sangat sesuai bekerja dengan PERHILITAN. Sesuai benar dengan jiwa dia. Dia macam pelatih pada kucing ni, dan dia jugalah yang selalu bagi makan pada kucing tu. Dalam bulan lepas si ibu kucing ni baru kehilangan tiga ekor anak iaitu Si sulung Brazil, dan adik kembarnya. Sedih betul adik saya. Dia la yang tanam ketiga-tiga ekor kucing tu. Tetapi, sekarang ni, ibu kucing tu agaknya dah bunting lagi. Perutnya dah mula membesar dan ada beberapa perangai pelik yang dia tunjukkan.Antaranya;

  1. Dia selalu tidur atas sofa. Sebelum ni dia tak pernah pun buat macam tu. Dia biasanya tidur kat luar rumah je. Jadi bila waktu siang dia suka tidur kat dalam rumah, waktu malam dia akan mengiau la nak masuk tidur kat dalam. Bila sofa tempat dia selalu tidur tu ada orang yang duduk, dia beralih kat kerusi makan dapur.
  2. Pernah sekali, dia naik tidur atas kabinet dapur yang paling tinggi. Larat pula dia panjat dengan perut yang besar tu.
  3. Kerjanya sekarang ni, cuma tidur sepanjang hari. Dia bangun untuk makan sahaja. Tidak ada hasil tangkapan seperti cicak lagi di luar rumah, pada waktu pagi. Dia kelihatan sangat penat. Orang kacau dia tidur pun, dia tak bagi respon.
  4. Dia sangat kuat makan sekarang ni. Kalau diturutkan kemahuan dia tu, mahu nak kena bagi makan sampai lapan kali sehari.  Sekarang ni pula, musim hujan. Lagi la dia nak makan banyak.
  5. Dia juga cuba melilau di dalam rumah. Dia ada agenda tersembunyi sebenarnya, iaitu mencari tempat tersorok dan terbaik serta selesa untuk melahirkan anaknya. Kena berjaga-jaga ni. Tak kena cara, dia bersalin dalam almari pakaian.(Minta dijauhkan)
Itu  la sebahagian tabiat kucing ni yang dapat diperhatikan buat masa sekarang. Tapi bimbang jugak kalau tanda-tanda ini hanyalah menunjukkan dia sedang bunting palsu. Ada ke bunting palsu?? Ha,  kalau nak baca fakta mengenai bunting palsu, sila klik sini.

Comel kan??

Dan, kalau nak baca selanjutnya tentang tanda-tanda seekor kucing betina tu dah bunting, klik sini.

Sekarang, jom kita tengok beberapa gambar kucing yang sangat comel. Sumber Google Image. (dua gambar kat atas pun sama)

Eh, tepi la sikit!! Sempitnya.. huhu

Bangun pagi, gosok gigi... untuk kesihatan mulut, gunalah Colgate...

Oh, indahnya mimpi ini. Tak nak bangun la.. z.z.z.z.z

"Janji tau, kita terjun sama-sama". u jump, i jump..

Macam pasangan 'suami isteri' yang sangat bahagia... so sweet..

Kasihnya ibu... (=

TERSEBUTLAH, sebuah kisah, yang terjadi di zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang wanita Arab yang kesal dan marah kerana tidak suka melihat kucing, ia kemudian memenjarakan kucing hingga berhari-hari dan sama sekali tidak diberi makan, sampai akhirnya kucing itu mati.
Maka tatkala perilaku wanita itu, diberitahukan kepada Rasulullah, bukan main Rasulullah marah, dan mengatakan bahwa wanita itu kelak akan masuk dalam neraka.
Seorang ulama besar, yang dikenal sebagai pengumpul hadits bernama Abu Hurairah, dikenal dalam sejarah Islam sebagai orang yang sangat mencintai dan menyayangi kucing. Kerana kecintaan dan kedekatannya, dia mendapat julukan “Bapa Kucing”.

Sayangilah kucing anda.. (=

Tuesday, December 14, 2010

Wanita & Emosi 2

Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum w.b.r.
Salam dari seorang Umairah

- sambungan Wanita dan Emosi -

i.                     MATA
Adakah anda semua percaya kepada kuasa mata? (Oh, saya tidak maksudkan kuasa mata ala-ala super hero berkuasa sinar x-ray yang boleh menembusi dinding bangunan dan sebagainya). Kata orang, ‘Dari mata turun ke hati’. Betul ke? Pada pandangan saya, kata-kata ini ada benarnya. Jikalau tidak, masakan dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nur  ayat 30 “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”

Mata, jarang benar dapat menipu. Kesusahan mungkin dapat disembunyikan dengan senyuman dan gelak ketawa. Tetapi mata akan berbicara yang sebenarnya. Sebab itulah muncul istilah seperti ketawa dalam sendu dan tangis dalam riang. Lihat sahaja drama-drama ditelevisyen. Kepakaran bermain dengan eye contact akan memberikan kelebihan kepada pelakon menjiwai watak yang perlu mereka jayakan. Sesebuah lakonan tidak akan dikatakan kaku apabila seorang pelakon berjaya menghayati watak yang diberikan dengan sepenuh penghayatan. Dalam sesetengah scene yang dilakonkan tanpa dialog sekalipun masih akan dapat difahami apabila si pelakon bijak menggunakan kombinasi pandangan mata dan bahasa tubuh. Mata memainkan peranan penting untuk kita mengetahui perasaan sebenar. Tetapi, bukan dengan senang-senang kita dapat baca perasaan orang. Macam yang sudah saya nyatakan dalam entri sebelum ini, ada beberapa faktor yang membolehkan kita memahami perasaan orang lain.

ii.                   PERCAKAPAN
Pernahkah anda menonton rancangan bual bicara Oprah Winfrey? Saya agak menggemari rancangan ini kerana saya suka melihat cara Oprah mendendalikan sesuatu bual bicara. Beliau mempunyai kebolehan berkomunikasi yang menarik, dengan penggunaan gaya bahasa yang sesuai serta kebolehan beliau mempengaruhi penonton dengan personaliti yang mesra. Bual bicaranya berkisarkan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Kebanyakan berkenaan dengan penderaan seksual, ketagihan dadah dan alkohol, kegemaran yang pelik-pelik dan banyak lagi. Apa yang ingin saya kongsikan melalui rancangan bual bicara ini adalah perbezaan antara tetamu lelaki dan tetamu wanita. Kebiasaannya tetamu lelaki akan tampil dengan watak yang bersahaja dan tenang sedangkan tetamu wanitanya kebiasaanya lebih beremosi. Kalau tiba pada soalan yang sensetif, mesti perempuan akan mengelak untuk menjawab, tukar topik perbincangan, tak pun, suara akan jadi tersekat-sekat dan makin lama, makin perlahan.. Saya tidak tahu sama ada ianya merupakan format rancangan ini yang sudah dirancang awal ataupun secara kebetulan, tetapi kebanyakannya memang begitulah fenomenanya. 

iii.                  PENULISAN
Selain daripada melalui mata dan juga percakapan, kita juga dapat mengesan emosi melalui penulisan. Saya tertarik pada kenyataan yang terdapat pada blog Srikandi Mujahidah yang bercatat ‘Buktikan yang perempuan juga dapat menghasilkan penulisan ilmiah, dan bukan sekadar menconteng suara-suara hati di dinding-dinding blog’. Adakah kenyataan ini bermaksud wanita beremosi dalam penulisannya? Anda berhak untuk membuat tafsiran sendiri. Mungkin ya, dan mungkin juga tidak. Cuba kita senario penulisan novel cinta di negara kita, dimonopoli oleh kaum Hawa. Hal ini kerana penulisan novel melibatkan perasaan. Sesuatu penulisan yang sarat dengan emosi seperti novel akan diterima dengan emosi yang sama oleh pembaca. Kadang-kadang dengan membaca sahaja, sudah mampu menitiskan air mata dan juga mengundang senyum sendiri. Apabila seseorang penulis tulus dalam karyanya, emosi pembaca akan terusik. Penceritaannya jelas satu persatu. Bagi penulisan kaum Adam pula, ianya lebih memerlukan pemikiran yang mendalam. Walaupun pada sesuatu peristiwa yang menyedihkan, contohnya kematian, kita jarang akan menangis. Kerana apa? Kerana sebelum kita terbawa oleh perasaan, kita terlebih dahulu diajak untuk berfikir. Tambahan pula, penulisan novel oleh Kaum Adam bersifat umum dan tidak memperincikan suasana satu persatu yang memerlukan pembaca mencipta bayangan minda sendiri. 


KISAH WANITA DAN PERASAAN
Kita selak lembaran sejarah Islam seketika. Mungkin ada yang sudah muak mendengarnya, tapi tidak ada salahnya kalau sentiasa diulang-ulang. Kenalkah kalian dengan Atikah binti Khalid al-Khuza’iyah ataupun lebih dikenali sebagai Ummi Ma’abad? Ummi Ma’abad dikenali dalam sejarah Islam dek kerana kefasihannya, dan sangat halus caranya mensifatkan Nabi s.a.w yang sehingga sekarang masih dihafal orang, sebagaimana berikut;

Dia seorang yang bersih cerah, mukanya bercahaya, kelakuannya sangat baik, rupanya sangat cantik, matanya hitam, bulu keningnya lebat, suaranya garau, tengkuknya panjang, janggutnya lebat, warna kulitnya merah, bercelak, betisnya panjang, jika dia berdiam dia tenang, jika dia bercakap dia kelihatan tinggi cemerlang, dia adalah seorang yang amat cantik, cerah kelihatan dari jauh, dan manis dan bagus kelihatan dari dekat, pendeknya dia seorang yang sempurna, dia mempunyai teman-teman yang sayang padanya, jika dia berkata semua mendengar kepadanya, jika dia menyuruh semua akan menurut perintahnya.

Ada sebuah riwayat menyatakan, bahawa Saidina Ali bin Abu Talib pernah ditanya: “ Mengapa tiada seorang pun yang dapat mensifatkan Nabi s.a.w sebagaimana yang sifatkan oleh Ummi Ma’abad”.

Maka jawab Ali: “Sebab kaum wanita mensifatkan seseorang dengan perasaannya, maka dia mendapati semua di dalam sifat-sifatnya”

Manakala Khaulah bin Al-Azwar pula bangkit dalam satu peperangan menentang askar-askar Rom laksana api yang membakar, lalu memecah belahkan pasukan mereka, dan memusnahkan penyusunan mereka setelah mendapat tahu, saudaranya Dhirar telah ditawan oleh musuh. Kekuatan jiwanya membuatkan dia bangkit menggempur askar musuh tanpa gentar. 

(Rujukan: 100 Tokoh Wanita Terbilang)


PANDULAH EMOSI
Satu perkara yang disedari ialah, apabila emosi dibantu oleh minda yang sedar dan dipandu oleh hati yang hidup, insan akan bertindak dengan rasional bertepatan dengan situasi yang dihadapi. Akal ialah menteri yang menasihati, sedangkan hati itu adalah raja yang menentukan. Elakkan daripada bertindak sewaktu emosi berada dalam keadaan yang tidak stabil. Raja yang baik dan menteri yang bijaksana merupakan satu paduan yang hebat dalam memastikan ‘rakyat jelata’ hidup dalam kesejahteraan. Kadangkala diam itu merupakan satu penyelesaian berbanding meledakkan emosi. Biarkanlah manusia seketika dengan tandatanya. Tetapi jangan pula dibiarkan tanpa penyelesaian. Bertindak dengan bijak mengikut kemampuan diri serta mohonlah petunjuk dari Yang Maha Esa. Wallahu’alam.

p/s: Penulisan hanyalah berdasarkan pemerhatian penulis.

Saturday, December 11, 2010

WANITA & EMOSI

Bismillahirahmanirahim..
Assalamualaikum w.b.r...
Salam dari seorang Umairah...

Emosi dan Wanita... Bagai sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Wanita sememangnya kaya dengan emosi. Adakah ini membawa maksud lelaki merupakan makhluk Tuhan yang tidak beremosi.???  Mesti la tidak kan...
Emosi ataupun perasaan adalah sesuatu yang fitrah bagi setiap yang bernyawa... 
Waima haiwan pun mempunyai emosi malahan mempamerkannya pula.

 
Baiklah, sekarang saya ada satu soalan. Tetapi saya tidak mengharapkan jawapan. Cukuplah anda sahaja yang mengetahuinya. Macam soalan susah je. Tidaklah... Saya cuma ingin bertanya khabar... 

Apa EMOSI anda pada saat dan ketika ini ???

TERUJA?


GUSAR?


KELIRU?


GEMBIRA?


SEDIH?


MARAH?


TENANG?


KECEWA?


Seperti yang saya katakan, anda sendiri yang tentukan jawapannya. Apapun emosi anda kawallah ia supaya tidak nanti mendatangkan kesusahan pada diri anda. Jadilah sederhana dalam beremosi kerana...

Tidak salah untuk teruja, tapi jangan berlebihan, bimbang nanti kita akan kecewa.

Tidak salah untuk gusar, kecewa dan sedih, tapi jangan berlebihan, bimbang nanti kita terlupa berharap pada YANG ESA.

Tidak salah untuk rasa keliru, tapi jangan berlebihan, bimbang nanti akan berlaku salah anggapan.

Tidak salah untuk gembira, tapi jangan berlebihan, bimbang nanti kita lupa untuk bersyukur.

Tidak salah untuk marah, tapi jangan berlebihan, bimbang nanti terasuk oleh syaitan dan iblis.

dan 

Tidak salah untuk kita sentiasa merasa tenang, tapi jangan berlebihan, bimbang nanti kita tidak bersungguh dalam usaha.


MENGESAN EMOSI

Ada orang yang sangat bijak menyembunyikan emosi, ada pula yang lebih suka untuk mempamerkan emosi. Bagi kedua-duanya ada pro dan kontra masing-masing. Ada kalanya emosi perlu dipamerkan dan ada ketikanya memendam rasa itu lebih praktikal. Bergantung pada situasi.

Dalam banyak perkara, wanita dilihat sebagai makhluk Tuhan yang kaya dengan emosi dan sering pula memaparkan emosi yang dirasainya. Tinggal sahaja emosi yang ditunjukkan itu difahami dan diterima dengan maksud yang sama ataupun tidak. Teringat satu cerita Hindustan yang pernah ditonton beberapa ketika dahulu. Watak lelaki antagonis dalam cerita berkenaan menjelaskan dua ciri wanita iaitu;
  1. Ibarat air dalam gelas kaca yang lutsinar. Nampak terang dan jelas semuanya dari luar  yang bermaksud ada golongan wanita yang berterus terang dalam menyatakan semua perkara. Apa yang ditunjukkan adalah dirinya dan apa yang dituturkan, itulah jua yang dirasakan oleh hatinya. 
  2. Ibarat ais. Kita lihat ada, tapi bila kita genggam ia tiada. Maksudnya lebih kurang macam ni. Kita tahu kan ais akan mencair. Bila kita pegang ais, kita boleh nampak bentuknya, tapi bila kita genggam dan ianya akan mencair. Ibarat kata, waktu kita genggam tu kita rasa macam ada, tapi bila kita buka genggaman tu, rupa-rupanya tiada. Macam pening kan penerangan ni. Senang cerita, mereka merupakan golongan yang sukar difahami. Apa yang ditonjolkan diluar adalah bukan dirinya yang sebenar. 
Golongan wanita sebagaimana yang saya nyatakan tadi, kalau diikutkan memang tak sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan. Tetapi bila difikirkan berdasarkan pemerhatian, ada benarnya juga. Cumanya perlu ada golongan pertengahan  kerana sebenarnya dalam banyak perkara, kalau kita perhatikan, manusia ini memilih untuk menjadi yang sederhana. Tak kurang dan tak lebih.

Susah sangat ke nak mengesan emosi? Apatah lagi emosi wanita? Entah la. Banyak faktor sebenarnya yang mempengaruhi sejauh mana kita nak mengesan emosi seseorang. Antaranya ialah keterbukaan individu menjelaskan emosi, status hubungan (rapat atau tidak), kepekaan, pengalaman berhadapan situasi yang sama, umur, jantina, dan banyak lagi. Persoalan emosi adalah sesuatu yang bersifat sangat subjektif. Jadi, untuk memahami emosi, memerlukan pemikiran yang subjektif, luas dan tidak boleh tertumpu. 

Pernah atau tidak kita perhatikan kawan-kawan kita ataupun diri kita sendiri, pabila kita cuba untuk merahsiakan emosi, masih ada yang dapat membaca. Meskipun cuba untuk merahsiakan perasaan, contohnya sangat gembira, tetapi kita menunjukkan riak wajah yang bersahaja. Orang akan bertanya, "Kenapa happy sangat hari ni??" Kadang-kadang ada yang cuba mengelak dengan memberikan beribu alasan dan kadang-kadang ada yang lantas bercerita. Makin ingin dirahsiakan, makin ianya terserlah pula... Kenapa ya???


Bersambung....




Tuesday, December 7, 2010

Silam, Bawa Padaku Harapan

Assalamualaikum w.b.r...
Salam dari seorang Umairah...
Bismillahirahmanirahim...


Dini hari sudah dipenghujung,
Bilah-bilah cahaya menusuk dinding teratak,
Lalu ku singkap tirai kehidupan,
Suria mula menjengukkan wajah,
Ku hirup damainya aroma pagi,
Kicauan sang mergastua tidak kenal jemu,
Menemani hari-hari yang tak putus bertandang,
Sebentar lagi taman dunia ini akan kembali bernyawa,
Menggerakkan nadi-nadi untuk terus bekerja....

Sungguh aku rindu rasa ini,
Rasa yang kutinggalkan lewat usia remaja,
Lantaran terpukau pesona sementara,
Mengiringi aku mencari kilau abadi,
Rupanya tertipu pada neon yang menyinari,
Damai yang kucari di sibuk dunia,
Membawa aku kembali ke desa rohani yang sepi...

Dari jendela teratak usang,
Aku memandang jauh sawah kehidupanku,
Luas,
Tapi kosong dan kontang,
Subur,
Dengan rumput dan lalang,
Damai,
Tanpa luka pada tanah
Meriah,
Berteman tikus dan ular...

Ada benteng keegoan yang teguh,
Ada rasa angkuh berkubu kukuh,
Memenjara rasa rindu ingin berTuhan,
Lalai, Leka dan Lupa,
Itulah sifat kehidupanku yang silam,
Aku sangka keluarga dan teman-teman,
Mampu menghidupkan hati yang gersang,
Aku sangka harta dan kekayaan,
Mampu membeli kehidupan,
Aku sangka pangkat dan kedudukan,
Mampu memberikan aku kekuasaan....

Aku tinggal terus bersangka,
Sedangkan aku lupa,
Kuasa adalah mutlak milik yang MAHA BESAR,
Hati yang gersang akan subur dengan cinta padaNya,
Dan kehidupan ini sementara cuma...

Aku sudah jenuh mengimbau kisah suram,
Aku tidak mahu terus terperangkap berulang-ulang,
Aku yakin pada janji Tuhan,
Pintu taubat itu masih ada buatku...

Biarkanlah,
Aku tidak mahu tewas pada rasa,
Kusimpan kejap semua ingatan hitam,
Pada sudut yang tiada tercapai,
Sedang aku akan terus berharap dalam DOA..


Penulis bukan seorang pemuisi,
Sekadar menconteng sebuah erti,
Menyusun kata moga ada yang memahami,
Mudah-mudahan, bermanfaat buat diri.. (:

Salam Maal Hijrah 1432 Hijrah,
Hijrahkan diri menuju negeri abadi,

Wednesday, December 1, 2010

ALAM PENGAJIAN 1

Assalamualaikum w.b.r...

Salam dari Seorang Umairah...

Bersyukurlah kita atas setiap titis nikmat yang dititipkan kepada kita.

Suasana di Pantai Timur buat masa sekarang tenang dan mendamaikan. Aktiviti luar rumah diperlahankan kerana cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Musim yang sebenar belum bermula lagi. Bak kata seorang pak cik yang ditemuramah malam tadi.

Pak Cik: Ni baru ombok kecik-kecik jah ni. Ombok bekeng tok maghi ag nih..

Makna kata sekarang ni baru muqaddimah. Hujan sekejap-sekejap dan tidak begitu lebat di kawasan saya. Saya tidak maksudkan keseluruhan Pantai Timur, tetapi merujuk pada kawasan tempat tinggal saya sahaja. Kepada adik-adik, walaupun ombak tak kuat lagi, jangan cuba-cuba 'main air' di pantai ataupun sungai di musim-musim sekarang ni. Bahaya dik, kita tak tahu kalau tiba-tiba ombak mengganas. Tak boleh diduga. Belajar dari nasib yang dah menimpa beberapa orang kawan kamu semua yang dihanyutkan ombak ketika bermain air pada musim hujan. Dengar cakap mak ayah.

Baiklah, cukup setakat itu untuk laporan cuaca. Saya bukan ingin membicarakan tentang 'musim hujan' yang sedang melanda Pantai Timur sekarang ini, tetapi saya ingin berkongsi dan mengajak sesiapa sahaja yang membaca entri ini terutamanya yang bergelar murid, pelajar ataupun mahasiswa supaya mensyukuri nikmat belajar di institusi pendidikan dalam atau luar negara. Kenapa?? Selama ni tak bersyukur ke?? Bukan sebab tu, tapi sebab syukur ni bukan kita yang nilai... Kita sendiri pun tak boleh nak katakan yang diri kita adalah orang yang betul-betul bersyukur ataupun tidak. Sebab syukur itu bukan sekadar melakukan sujud syukur setiap kali mendapat nikmat Allah s.w.t ataupun melafazkan tasbih, tahmid, dan takbir semata-mata. Ianya lebih dari itu.

Bersyukurkah kita apabila kita dengan tenangnya membazirkan masa pada perkara yang tidak sepatutnya, sedangkan ada rakan-rakan kita di luar yang begitu ingin melanjutkan pengajian tetapi terhalang kerana mentaliti ibu bapa...???

Bersyukurkah kita apabila dengan borosnya berbelanja dengan duit ptptn ataupun elaun bagi memenuhi kehendak, sedangkan rakan-rakan kita di luar terpaksa melupakan hasrat untuk belajar lantaran bekerja untuk menyara keluarga????

Bersyukurkah kita apabila tidak memanfaatkan ruang membentuk jati diri unggul di alam pengajiaan, sedangkan ramai rakan-rakan kita di luar yang berjiwa besar walaupun tidak banyak buku yang dia baca???

Entri ni ala-ala menghentam diri sendiri tetapi sekiranya ada yang inginkan hentaman yang sama untuk menyedarkan diri sendiri, anda dibolehkan... dan sila teruskan membaca... (=

Seminggu di sekolah yang mengajar pemandu-pemandu di Malaysiaku yang tercinta ini supaya dapat mengendalikan kenderaan dengan betul dan mematuhi peraturan jalan raya menemukan saya dengan beberapa insan yang banyak membuka mata saya. Dalam hidup kita ini, orang datang dan pergi silih berganti. Ada yang datang sekadar untuk singgah, ada yang menghuni buat beberapa ketika, ada yang membenci dan ada yang sayang, dan tak kurang juga yang bersama hingga ke hujung nyawa. Tetapi yang lebih penting antara mereka yang muncul dalam hidup kita adalah bukan kerana dek lamanya masa tetapi kesan kewujudan mereka dalam hidup kita. 

Keramahan adalah faktor penting dalam mewujudkan suasana komunikasi dua hala yang berkesan dan saya bukanlah seseorang yang mempunyai kualiti berkenaan. Syukur sekali Allah s.w.t menemukan saya dengan beberapa individu yang begitu ramah sekali menceritakan serba sedikit tentang kehidupan mereka yang membuatkan saya sedar banyak sekali nikmat yang tidak saya hargai sepanjang pengajian.

..kehidupan di kampus..


MATANG
Dalam situasi yang pertama adalah perbualan saya dengan seorang gadis yang setahun lebih muda dari saya. Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penguruan. 

Gadis A: Dah minta cikgu ni memang minat dari dulu lagi ke?

Saya : Sebetulnya waktu sekolah dulu tak tahu pun nak jadi apa. Belajar je. Awak minat ke nak jadi cikgu?
(Saya pernah menulis tentang minat pada bidang perguruan di sini )

Gadis A: Minat juga. Bukannya apa, waktu kat sekolah dulu, semasa pembentangan saya suka sangat tanya kawan-kawan saya soalan. Saya nak buat mereka faham. Kawan-kawan saya takut kalau sampai giliran saya yang buat pembentangan. Saya suka tulis kat papan hitam dan saya padam balik. Saya tanya kawan saya balik apa sudah saya bentangkan. Waktu ulangkaji, kawan-kawan akan tanya saya sebab penerangan saya ringkas dan mudah difahami.

(Saya sampai sekarang pun, kalau nak buat pembentangan masih takut-takut.. Tapi itu normal je kan???)

Saya sudah sedia maklum yang buat masa sekarang dia tidak menyambung pengajian di mana-mana institusi pendidikan. Dia sekarang berada di rumah dan membantu ibunya membuat tempahan kek. Dia pernah mendapat peluang menyambung pelajaran di sebuah kolej di negeri yang sama saya belajar sekarang. Tetapi tidak dibenarkan oleh ibunya memandangkan dia akan berjauhan dari keluarga. Hendak dikatakan dia merupakan tempat bergantung keluarga, tidak juga. Keluarganya berkemampuan dan dia masih ada seorang abang dan kakak yang mampu menyara kehidupan keluarga. Entahlah, saya bukan berniat untuk mengata, tapi cuba untuk membuka mata sendiri. Rupa-rupanya dalam dunia hari ini masih ada ibu bapa yang memikirkan soal jarak untuk menghantar anak-anak mereka belajar tinggi. Dalam hal ini, saya memikirkan peranan guru untuk menyedarkan ibu bapa yang masih mempunyai mentaliti seperti ini terutama bagi ibu bapa yang tinggal di kawasan kampung-kampung dan pedalaman. 

Kami menyambung perbualan..

Gadis A: Saya pernah pergi Form 6. Tapi malang tak berbau. Saya ditimpa kemalangan. Tahu tak apa seoarang cikgu tu cakap pada saya. "Saya tak nak ajar awak. Awak ingat awak dah kemalangan saya akan tolong awak, awak belajar je sendiri".

Kemudian dia diam. Saya pun terdiam. Dapat mengagak tuju bicara dia yang seterusnya. Kemudian dia menyambung.

Gadis A: Keputusan saya tak memuaskan. Bila cikgu cakap macam tu, semangat saya jadi lemah. Saya rasa cikgu lelaki dengan cikgu perempuan lebih baik cikgu lelaki.. Cikgu perempuan ni... Hmmm...Entahlah...

Dush!! Saya terasa seperti satu tumbukan padu terkena pada muka saya. Ini persoalan wanita dan emosi. (Memerlukan satu entri lain, InsyaAllah) Namun, saya sekadar tersenyum dan membiarkan sahaja dia meluahkan saki baki sesalan yang masih bersisa...

Gadis A: Awak tu nak jadi cikgu ingat sikit.. Beringat-ingatlah, dengan pesan saya ni. Jangan buat anak murid awak tu.

Dush!! Dush!! Tepat sekali agakan saya. Inilah tuju bicaranya seawal dia membuka cerita tentang pengalamannya di tingkatan 6. 

Jadi cikgu-cikgu perempuan di luar sana, bakal-bakal cikgu perempuan di IPG termasuklah diri saya sendiri, serta semuanya yang bergelar wanita.. Jangan sampai emosi kita memusnahkan masa depan generasi kita sendiri. Manfaatkanlah peluang di institusi pendidikan untuk mengawal dan menggunakan emosi pada tempat yang sebetulnya dan orang yang tepat. Bukankah institusi pendidikan adalah untuk melahirkan individu yang bersahsiah mantap. Bersahsiahkan kita, bila kita kalah pada emosi sendiri...???

Saya: InsyaAllah. Jadi apa perancangan masa depan??(Cuba mengalihkan topik perbincangan)

Gadis A: Saya tengah fikir lagi ni. Ingatkan nak buat macam ni. Duit insurans yang saya dapat daripada kemalangan tu, ingatkan nak buka kedai buat kek ataupun kuih. Nak buat modal berniaga. Kena tengok pasaran juga. Orang kampung bukannya suka sangat kuih moden ni...

Dan apabila dia mula bercakap tentang kuih dan kek, dia sudah lupakan masalah yang dihadapi. Saya pula lebih selesa menjadi pendengar dan membiarkan dia bercerita. Mungkin dengan cara itu, dia akan lebih tenang. Tidak dinafikan, nadanya sebelum ini agak tegang dan dia mengakui dia agak tertekan dengan apa yang berlaku pada dirinya. Antara keinginan yang tinggi untuk belajar, mentaliti ibu bapa, dan guru yang memusnah ranapkan harapan... Dia tersepit...

Ditakdirkan, salah seorang rakannya yang merupakan top student di sekolahnya dulu mencelah ketika perbualan kami. Rakannya itu, juga seorang guru pelatih. Banyak juga kami berkongsi cerita suasana di IPG masing-masing. Hingga menyebabkan Gadis A mungkin terasa hati..

Gadis A: Seronok dengar kamu berdua berbual. Iya la kan. Orang belajar....

Menyedari kekhilafan kami, kami cuba menukar tajuk. Membiarkan dia bercerita lagi.

Gadis A: Itulah kawan-kawan yang dapat sambung belajar semua dah sombong. Lupakan kawan-kawan lama...

Dush!! Dush!! Dush!! Cuba tengok, ada tak kawan-kawan kita yang kita lupakan tanpa kita sedar... Huhu.....


Realitinya pada diri saya pula, mungkin saya yang tergolong dalam kalangan yang tidak begitu menyerlah berbanding kawan-kawan sepengajian Batch 0206 di sekolah dulu. Kawan-kawan di sekolah dulu ramai yang keluar negara... Mesir, Australia, Jepun, India, Perancis dan entah ke mana-mana lagi. Saya sangat  gembira dengan kejayaan mereka dan mudah-mudahan pengalaman mereka di tempat orang akan digunakan untuk memajukan agama, bangsa dan negara sendiri. Saya dan teman-teman yang memilih bidang perguruan pula akan berusaha dalam bidang kami untuk menghasilkan modal insan sebagaimana yang dihasratkan. Semua akan berusaha di bidang masing-masing tidak kira di dalam dan di luar negara. Jalan yang dipilih mungkin berbeza, tapi matlamat kita tetap sama. Menggapai kejayaan dunia dan akhirat... InsyaAllah...

bersambung --> Alam Pengajian 2

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails