Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum w.b.r.
Salam dari seorang Umairah
- sambungan Wanita dan Emosi -
i. MATA
Adakah anda semua percaya kepada kuasa mata? (Oh, saya tidak maksudkan kuasa mata ala-ala super hero berkuasa sinar x-ray yang boleh menembusi dinding bangunan dan sebagainya). Kata orang, ‘Dari mata turun ke hati’. Betul ke? Pada pandangan saya, kata-kata ini ada benarnya. Jikalau tidak, masakan dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nur ayat 30 “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”
Mata, jarang benar dapat menipu. Kesusahan mungkin dapat disembunyikan dengan senyuman dan gelak ketawa. Tetapi mata akan berbicara yang sebenarnya. Sebab itulah muncul istilah seperti ketawa dalam sendu dan tangis dalam riang. Lihat sahaja drama-drama ditelevisyen. Kepakaran bermain dengan eye contact akan memberikan kelebihan kepada pelakon menjiwai watak yang perlu mereka jayakan. Sesebuah lakonan tidak akan dikatakan kaku apabila seorang pelakon berjaya menghayati watak yang diberikan dengan sepenuh penghayatan. Dalam sesetengah scene yang dilakonkan tanpa dialog sekalipun masih akan dapat difahami apabila si pelakon bijak menggunakan kombinasi pandangan mata dan bahasa tubuh. Mata memainkan peranan penting untuk kita mengetahui perasaan sebenar. Tetapi, bukan dengan senang-senang kita dapat baca perasaan orang. Macam yang sudah saya nyatakan dalam entri sebelum ini, ada beberapa faktor yang membolehkan kita memahami perasaan orang lain.
ii. PERCAKAPAN
Pernahkah anda menonton rancangan bual bicara Oprah Winfrey? Saya agak menggemari rancangan ini kerana saya suka melihat cara Oprah mendendalikan sesuatu bual bicara. Beliau mempunyai kebolehan berkomunikasi yang menarik, dengan penggunaan gaya bahasa yang sesuai serta kebolehan beliau mempengaruhi penonton dengan personaliti yang mesra. Bual bicaranya berkisarkan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Kebanyakan berkenaan dengan penderaan seksual, ketagihan dadah dan alkohol, kegemaran yang pelik-pelik dan banyak lagi. Apa yang ingin saya kongsikan melalui rancangan bual bicara ini adalah perbezaan antara tetamu lelaki dan tetamu wanita. Kebiasaannya tetamu lelaki akan tampil dengan watak yang bersahaja dan tenang sedangkan tetamu wanitanya kebiasaanya lebih beremosi. Kalau tiba pada soalan yang sensetif, mesti perempuan akan mengelak untuk menjawab, tukar topik perbincangan, tak pun, suara akan jadi tersekat-sekat dan makin lama, makin perlahan.. Saya tidak tahu sama ada ianya merupakan format rancangan ini yang sudah dirancang awal ataupun secara kebetulan, tetapi kebanyakannya memang begitulah fenomenanya.
iii. PENULISAN
Selain daripada melalui mata dan juga percakapan, kita juga dapat mengesan emosi melalui penulisan. Saya tertarik pada kenyataan yang terdapat pada blog Srikandi Mujahidah yang bercatat ‘Buktikan yang perempuan juga dapat menghasilkan penulisan ilmiah, dan bukan sekadar menconteng suara-suara hati di dinding-dinding blog’. Adakah kenyataan ini bermaksud wanita beremosi dalam penulisannya? Anda berhak untuk membuat tafsiran sendiri. Mungkin ya, dan mungkin juga tidak. Cuba kita senario penulisan novel cinta di negara kita, dimonopoli oleh kaum Hawa. Hal ini kerana penulisan novel melibatkan perasaan. Sesuatu penulisan yang sarat dengan emosi seperti novel akan diterima dengan emosi yang sama oleh pembaca. Kadang-kadang dengan membaca sahaja, sudah mampu menitiskan air mata dan juga mengundang senyum sendiri. Apabila seseorang penulis tulus dalam karyanya, emosi pembaca akan terusik. Penceritaannya jelas satu persatu. Bagi penulisan kaum Adam pula, ianya lebih memerlukan pemikiran yang mendalam. Walaupun pada sesuatu peristiwa yang menyedihkan, contohnya kematian, kita jarang akan menangis. Kerana apa? Kerana sebelum kita terbawa oleh perasaan, kita terlebih dahulu diajak untuk berfikir. Tambahan pula, penulisan novel oleh Kaum Adam bersifat umum dan tidak memperincikan suasana satu persatu yang memerlukan pembaca mencipta bayangan minda sendiri.
KISAH WANITA DAN PERASAAN
Kita selak lembaran sejarah Islam seketika. Mungkin ada yang sudah muak mendengarnya, tapi tidak ada salahnya kalau sentiasa diulang-ulang. Kenalkah kalian dengan Atikah binti Khalid al-Khuza’iyah ataupun lebih dikenali sebagai Ummi Ma’abad? Ummi Ma’abad dikenali dalam sejarah Islam dek kerana kefasihannya, dan sangat halus caranya mensifatkan Nabi s.a.w yang sehingga sekarang masih dihafal orang, sebagaimana berikut;
Dia seorang yang bersih cerah, mukanya bercahaya, kelakuannya sangat baik, rupanya sangat cantik, matanya hitam, bulu keningnya lebat, suaranya garau, tengkuknya panjang, janggutnya lebat, warna kulitnya merah, bercelak, betisnya panjang, jika dia berdiam dia tenang, jika dia bercakap dia kelihatan tinggi cemerlang, dia adalah seorang yang amat cantik, cerah kelihatan dari jauh, dan manis dan bagus kelihatan dari dekat, pendeknya dia seorang yang sempurna, dia mempunyai teman-teman yang sayang padanya, jika dia berkata semua mendengar kepadanya, jika dia menyuruh semua akan menurut perintahnya.
Ada sebuah riwayat menyatakan, bahawa Saidina Ali bin Abu Talib pernah ditanya: “ Mengapa tiada seorang pun yang dapat mensifatkan Nabi s.a.w sebagaimana yang sifatkan oleh Ummi Ma’abad”.
Maka jawab Ali: “Sebab kaum wanita mensifatkan seseorang dengan perasaannya, maka dia mendapati semua di dalam sifat-sifatnya”
Manakala Khaulah bin Al-Azwar pula bangkit dalam satu peperangan menentang askar-askar Rom laksana api yang membakar, lalu memecah belahkan pasukan mereka, dan memusnahkan penyusunan mereka setelah mendapat tahu, saudaranya Dhirar telah ditawan oleh musuh. Kekuatan jiwanya membuatkan dia bangkit menggempur askar musuh tanpa gentar.
(Rujukan: 100 Tokoh Wanita Terbilang)
PANDULAH EMOSI
Satu perkara yang disedari ialah, apabila emosi dibantu oleh minda yang sedar dan dipandu oleh hati yang hidup, insan akan bertindak dengan rasional bertepatan dengan situasi yang dihadapi. Akal ialah menteri yang menasihati, sedangkan hati itu adalah raja yang menentukan. Elakkan daripada bertindak sewaktu emosi berada dalam keadaan yang tidak stabil. Raja yang baik dan menteri yang bijaksana merupakan satu paduan yang hebat dalam memastikan ‘rakyat jelata’ hidup dalam kesejahteraan. Kadangkala diam itu merupakan satu penyelesaian berbanding meledakkan emosi. Biarkanlah manusia seketika dengan tandatanya. Tetapi jangan pula dibiarkan tanpa penyelesaian. Bertindak dengan bijak mengikut kemampuan diri serta mohonlah petunjuk dari Yang Maha Esa. Wallahu’alam.
p/s: Penulisan hanyalah berdasarkan pemerhatian penulis.
No comments:
Post a Comment