Bismillahirahmanirahim...
Assalamualaikum w.b.r...
Salam dari seorang Umairah...
Selamat pagi Jumaat yang indah, dengan renyai hujan yang masih berbaki. Hari terakhir di rumah untuk cuti semester pada tahun ini. Sama ada cuti terisi dengan baik ataupun tidak, tiada ruang untuk menyesal kerana semua itu sudah terlambat. 31 Disember 2010 juga merupakan hari terakhir untuk kalendar masihi bagi tahun 2010. Tirainya akan berlabuh tepat 11.59 malam ini, dan detik 12.00 malam akan membawa kita ke tahun 2011 yang belum diketahui akan ‘warna’nya.
Sebenarnya, rasa takut dan bimbang turut menjengah. Risaukan corak sambutan pada malam ini yang akan menghanyutkan muda-mudi kita. Natijahnya, 7 hingga 9 bulan yang akan datang, dikhuatiri tubuh-tubuh kecil yang tak berdosa akan terus menghiasi dada-dada akhhbar. Nauzubillahiminzalik. Keterujaan menyambut tahun baru di luar batas syarak, mengundang ‘pembunuhan’ jiwa suci yang belum mengenal dunia. Lalu, salah siapa bila mana semua ini terjadi?
Pembangunan hiburan yang melampau, menjadikan sesetengah daripada kita begitu taksub untuk menjadi sebahagian daripada warganya. Apabila anak-anak tidak berjaya memasuki mana-mana rancangan realiti, ibu bapa menangis dengan hiba. Apabila tersingkir daripada sesuatu akademi, juraian air mata akan mengiringi kepulangan mereka. Apabila anak-anak memenangi sesuatu pertandingan nyanyian, tangis gembira tanda syukur.
Oh Malaysiaku yang kaya dengan ‘air mata’. Di mana air mata kita saat bayi kecil mati digigit semut ataupun digonggong anjing? Di mana pula air mata kita disaat seusai solat menadah tangan mohon diampunkan dosa yang telah lalu serta bermohon kebahagiaan dunia akhirat? Sudah keringkah air mata kita ataupun apakah kita merasa, diri sudah cukup segalanya.?
Tahun 2010 menyaksikan rentetan suka, duka, pahit, manis, tawa, hiba dan memori yang berbeza buat setiap dari kita. Namun, tidak perlu duduk termenung mengenangkan apa yang telah berlalu. Apa yang ada di hadapan kita adalah hamparan peluang dan waktu yang belum terisi. Yang lalu biarkan ia berlalu, tidak kira walau apa pun melodi yang telah didendangkan. Pandanglah sekilas ke belakang, cuma sekadar buat renungan, dan teruskan derap langkah untuk maju kehadapan. Masih ada banyak persoalan yang perlu kita jawab dengan tanggungjawab yang makin bertambah.
Semoga tahun 2011 menjanjikan 1001 yang terbaik untuk kita semua. Selamat Tahun Baru.... (=
- saat entri ini di'publishkan', mungkin penulis dalam perjalanan ke IPGKPM -
SUKE lah umai..
ReplyDelete