Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Lama juga mencari-cari masa terbaik untuk menulis tentang tajuk ini, sehinggalah sekarang baru terbit. Sudah meninggalkan kepimpinan IPG untuk 8 bulan. Meniti hari-hari terakhir menjadi siswi di IPG. Menunaikan hak-hak insan sekeliling yang tidak dilakukan sewaktu memegang taklifan dalam JPP. Taklifan yang banyak mengajar dalam mengenal sepak terajang berhadapan dengan manusia yang pelbagai ragam, karenah, dan pendapat. Perit memang ada, tetapi yang manisnya terlalu banyak. Mengajar menjadi manusia dan insan.
Sudah lama dihantui dengan persoalan ini. Mimpi ngeri siang dan malam. Sayalah seorang daripada siswi pendidik IPG itu. Adakah saya tidak kompeten? Adakah saya mempunyai low-order thinking, sehingga tidak mampu untuk membawa sesuatu perubahan kepada landskap pemikiran warga kampus? Adakah dan adakah?
Ya, saya lemah. Memang lemah. Saya tahu saya tidak berjaya. Saya tahu saya tidak membawa apa-apa perubahan. Saya tahu saya tidak membawa sesuatu yang boleh dibanggakan pun. Saya tahu dan saya tahu.
Jadi adakah saya fikir siswi/a pendidik IPG tidak kompeten?
Saya kira saya akan jawab begini:
Adakah ruang untuk kami kompeten?
Adakah selepas kami memberikan pandangan kami tidak akan dihukum dengan pandangan kami?
Adakah sekiranya kami cuba untuk membawa sesuatu perkara di luar kotak, kami tidak akan dianggap cuba melawan orang atasan?
Senyum.
Nak membangau la tu. :p
Tetapi itulah realitinya. Kalau kita tak dengar dengan telinga kita pun, kita dapat tahu dari orang lain. Ok, dah cukup dengan tulisan beremosi.
Sekadar minum kopi dan makan pasta satu teks forum sempena Kolokium Mahasiswa Pendidik yang lalu. Thumbs up untuk penganjur. Memang daebak!!
SOALAN
1:
Kita
boleh perhatikan, bagaimana mahasiswa dahulu mencorakkan negara ini, yang
kemudiannya menjadi corak kepada Malaysia pada masa kini. Begitulah kitarannya.
Sesuatu perkara atau isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa akan dibudayakan
oleh generasi pelapisnya selepas 5 hingga 10 tahun akan datang. Mahasiswa IPG
atau Siswa Pendidik merupakan terma yang masih baru dalam masyarakat sementelah
usia penjenamaaan IPG berlaku pada tahun 2010 apabila
pentadbiran Institut Pendidikan Guru diasingkan daripada Bahagian
Pendidikan Guru dan IPG Kampus
diselenggara sepenuhnya oleh Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran
Malaysia di Cyberjaya. Oleh itu, memegang mandat sebagai Yang DiPertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, sekaligus mewakili bukan sekadar kampus saudara,
bahkan 27 kampus IPG seluruh Malaysia, pada hari ini kita ingin sama-sama
mendengar, suara Siswa Pendidik tentang di manakah kedudukan Mahasiswa IPG
dalam pembentukan acuan Malaysia dan apakah isu yang cuba diperjuangkan?
Terima
kasih tuan moderator yang dihormati seterusnya hadirin yang budiman,
Perbahasan
agenda mahasiswa memenuhi ruang entiti masyarakat kerana mahasiswa bukanlah
golongan yang terkebelakang dalam proses sosial dan demokrasi. Golongan
mahasiswa dianggap sebagai entiti ‘murni’ kerana peranan mahasiswa dan
gerakannya terlalu banyak dalam proses pendemokrasian.
Sejarah
telah mencoretkan peranan yang amat besar dilakukan oleh gerakan mahasiswa
selaku penggerak utama terhadap terjadinya perubahan sosial, budaya, politik
dan lain-lain. Kekuatan mahasiswa dibuktikan dengan peristiwa penggulingan Juan
Peron di Argentina pada tahun 1955, Perez J Menex di Venezuala 1958, Soekarno
di Indonesia pada tahun 1966 dan banyak lagi. Pembabitan mahasiswa dalam banyak
peristiwa seluruh dunia membuktikan besarnya peranan dan pengaruh mahasiswa
dalam kepimpinan sesebuah negara.
Namun,
saya bukan ingin bercakap tentang bentuk usaha yang diperjuangkan oleh kami di
kepimpinan siswa pendidik IPG merupakan bentuk yang sama dengan usaha yang
telah dilakukan oleh mereka terhadap kepimpinan negara. Ingin saya tegaskan,
“Tidak sama sekali”. Bagi sebuah bangsa,
pemuda disebut sebagai agent of change bagi
setiap generasi yang wujud. Sebuah perjuangan, tidak mengira ideologi apapun
yang menjadi taruhan, hampir mustahil berjaya tanpa campur tangan orang muda.
Sejarah membuktikan hal demikian seperti yang dilaksanakan oleh baginda
s.a.w menawan hati kaum muda pada awal dakwahnya.
Tuan
moderator dan warga dewan yang dihormati.
Berbalik
kepada persoalan dimanakah mahasiswa IPG dalam koordinat kedudukan mahasiswa di
Malaysia, maka suka saya untuk menjelaskan di sini, mahasiswa IPG mempunyai
pentasnya yang tersendiri. Sebagai sebuah institusi yang melahirkan
produk-produk yang memiliki citra yang sama, maka keunikan ini menjadikan siswa
pendidik IPG berbeza daripada mahasiswa IPTA/IPTS. Bidang kami adalah bidang
pendidikan. Bidang mencorak khalifah kecil yang kelak akan meneraju pemrintahan
negara. Kami berada pada peringkat pembentukan asas. Dalam erti kata lain, kami
ialah golongan ‘behind the scene’. Kalau pembikinan sebuah filem, bila kita
menonton kita akan dapat menilai samada filem berkenaan pecah panggung ataupun
‘tak balik modal’. Tetapi di sebalik mutu yang kelihatan, kita tidak tahu
terdapat ramai pihak yang berperanan di belakang tabir.
Masyarakat
mengenali kami dengan pembawakan. Walaupun kami belum menjadi guru, namun ke
mana-mana sahaja kami pergi, pasti antara soalan yang akan diajukan ialah,
‘cikgu ke?’ Hal ini menunjukkan sistem yang kami lalui di IPG berhasil dalam
membentuk citra guru dalam diri kami. Penyertaan kami dalam aktiviti
kemasyarakatan samada memenuhi proforma seperti (Bina Insan Guru, Program Bakti
Guru, Pemulihan Dalam Komuniti), mahupun berbentuk Pembangunan Insaniah yang
dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dengan bimbingan Jabatan Hal
Ehwal Pelajar dapat memberitahu masyarakat, terdapat segolongan mahasiswa yang
sedang melalui proses pembentukan diri. Mereka
sedang bersedia untuk turun ke lapangan masyarakat, menyantuni anak
kecil dengan ilmu dan amal, membantu masyarakat dengan melibatkan diri dan
menjadi sebahagian warga yang berperanan, seterusnya menjayakan aspirasi
pendidikan negara.
Maka,
peranan kami dalam pembentukan acuan Malaysia adalah paling penting dan paling
utama ialah beriltizam dalam membentuk diri kami sendiri. Ramai orang bercakap
tentang hasrat untuk mengubah dunia, namun dalam diri kita, terdapat ‘dunia’
yang perlu ditadbir urus dengan baik. Baik ‘dunia’ pada diri kita, maka
InsyaAllah baiklah dunia keseluruhannya. M. Natsir pernah menyebut, “Suatu
bangsa tidak akan maju sebelum ada di antara bangsa itu, segolongan guru yang
suka berkorban untuk keperluan bangsanya” . Siapakah guru yang dimaksudkan? Saya
begitu bercita-cita besar, mahu melihat generasi kami yang dilahirkan dari
kandungan IPG inilah segolongan guru yang dimaksudkan. 5 tahun setengah kami
dilatih dan dididik dengan ilmu dan kemahiran, mempersiapkan diri dalam segenap
aspek (rohani, intelek, emosi, jasmani, sosial).
Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam
barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun
kukuh. (Surah As-Saff ayat 4)
Maka, seruan saya
kepada semua warga siswa pendidik yang berada di dalam auditorium pada hari ini
ialah, kita harus berganding bahu dan bersama-sama dalam mengangkat sesuatu
isu. Berilah kepercayaan kepada kami, mahupun sesiapa sahaja yang bakal
menyambung tugas kami untuk kita membuktikan kekuatan kita sebagai satu pasukan.
Sedarkan juga sahabat-sahabat kita yang tidak dapat hadir pada hari ini tentang
peranan yang seharusnya dilakukan. Ibarat sebatang lidi, ianya akan patah
apabila sendirian. Tetapi lidi seberkas yang diikat boleh digunakan untuk
menyapu segala karat-karat jahiliyah yang membelenggu masyarakat kita pada hari
ini.
Hadirin yang dihormati,
Lantas analogi tadi
menjawab persoalan yang kedua. Perjuangan kami saat ini adalah perjuangan
membina kesatuan. Perjuangan untuk menayatakan, segala usaha ke arah kebaikan
tidak akan berhasil dengan sendirian. Fokus perjuangan kami ialah pembangunan
modal insan. Sebagaimana yang disebut oleh Prof Sidek Baba, seorang ikon
pendidik negara kita, “Fokus terhadap pembangunan modal insan adalah langkah
yang terbaik. Modal insan yang berwibawa adalah hasil cernaan ilmu, ketrampilan
dan nilai yang sifatnya integratif. Darinya lahir mereka yang memiliki keahlian
dan kepakaran yang sifatnya menyumbang dan bakal menghasilkan peribadi unggul (towering personalities).
Kami bukan golongan
yang cuba tampil dengan aliran pemikiran baru, bahkan kami ingin menjadi
golongan meneladani kehebatan institut pendidikan guru yang pertama dalam
sejarah peradaban manusia. IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka yang berusia 78
tahun merupakan IPG tertua di Malaysia. Tetapi dalam peradaban manusia,
Institut Pendidikan Guru yang pertama yang bermula dengan 4 orang pelajar ialah
institut yang diasaskan oleh baginda Rasulullah sallahu alaihi wasallam. Aliran ketamadunan ilmu yang diwariskan
oleh junjungan mulia, disambung dan terus disambung dengan budaya intelek yang
tinggi. Umara dalam beberapa tradisi kepimpinan menjadi penaung kepada tradisi
intelektualisme yang sihat. Perdebatan dan perbezaan pendapat berlaku tetapi
dengan etika yang tinggi menerima perbezaan sebagai satu rahmat dan mencetuskan
perkembangan idea dan ilmu.
Ianya bukan satu
perkara yang mudah, lantaran kita dibatasi geografi. Namun insyaAllah dengan
perkembangan teknologi pada hari ini, kekangan geografi tidak akan menjadi
halangan. Apabila kita sudah bersatu apa jua isu yang mendatang pasti akan
dapat ditangani. Isu kebajikan, penempatan, kesedaran budaya ilmu, keruntuhan
nilai dan moral siswa pendidik insyaAllah akan dapat diatasi.
~panjang pulak.... soalan 2 next post ep~ ^_^
No comments:
Post a Comment