Allahuakbar..!
Allahuakbar..!
Allahuakbar..!
Walillahilhamd..
Selawat serta
salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi
wasallam.
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh
Mengintai makna PENGORBANAN
Pengorbanan:
Tiada satu perkataan yang dapat menjelaskan definisi pengorbanan secara tepat.
Kerana pengorbanan bukan satu perkataan yang boleh dijelaskan tanpa
perkataan lain.
Saya petik
definisi ke-3 dalam Kamus Dewan..
Pengorbanan:
Pemberian (Kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu sebagai tanda
kebaktian) Kita singkap ibrah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Mahu
diulang rasanya kisah ini cukup dekat di hati semua yang bergelar Muslim.
Saya suka mengambil kesimpulan sahaja, iaitu berkenaan makna pengorbanan.
Pengorbanan yang ingin dimaknakan dalam kisah ini
ialah: Kesediaan, kesetiaan, dan keikhlasan. Lihatlah bagaimana
ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang redha menerima perintah Tuhan untuk mengorbankan
putera baginda Ismail a.s. Namun, ketaatan yang wujud dalam diri Ibrahim
a.s itu sangat mengujakan sehinggakan Ismail.a.s juga redha dengan
ketentuan yang telah diperintahkan.
Siapa yang sanggup meletakkan pisau yang tajam pada
leher orang lain, sementelah jasad itu adalah anak sendiri. Sudahlah
sedari kecil ditinggalkan. Tetapi, siapa yang mampu mempersoalkan kisah aturan
Ilahi? Dugaan sebegini tidak dititipkan kepada manusia biasa seperti
kita, tetapi kepada Nabi Allah yang mulia. Kerana apa? Kerana kita pasti
tidak betah untuk menghadapinya. Atau kerana mungkin
tahap kesetiaan/ketaatan kita kita kepada Allah belum menjadikan kita
mampu berkorban sedemikian rupa.
Semak sahaja mutabaah amal kita. Allahu. Bagaimana
kita begitu pasti berbicara tentang pengorbanan yang kita lakukan
sedangkan amal kita lompang di sana-sini? Kita katakan kita sudah melakukan itu
dan ini. Berkorban masa, tenaga, wang ringgit untuk jalan perjuangan.
Begitu hebat diri kita ini. Lantang berbicara, kemas hujahnya, fasih
tuturnya. Tapi kosong natijahnya. Astaghfirullahalazhim.
Bukan berniat mahu melunturkan motivasi, tetapi
bertujuan agar kita sama-sama koreksi diri. Kita rasa kita hebat, kita
rasa kita tahu semua perkara, kita rasa kita tidak perlukan siapa-siapa. Kita
silap sebenarnya. Nilailah samada, kita sedang berkorban ataupun
terkorban. Masa masih ada, kesempatan masih terbuka, walaupun sudah lewat
di hujung usia, berUBAHlah sebelum kita menjadi korban yang nyata.
Pengorbanan: Manifestasi kesetiaan, kesediaan dan
keikhlasan. Sebuah pengorbanan lahir dari cinta dan cinta tidak memerlukan
kata-kata. Ia bukti yang nyata, terzahir pada perbuatan.
Pengorbanan: Satu PROSES :)
Sebagaimana, kisah Nabi Ibrahim: pengorbanan yang
dilakukan juga tidak berlaku pada saat mimpi pertama, sebaliknya di
realisasikan setelah mimpi ke-3. Masa diambil untuk berfikir, bukan kerana
ragu-ragu tetapi begitulah resmi orang bijak pandai mengatur strategi.
Mengambil masa, memohon petunjuk Allah. Tidak semberono dalam
bertindak.
Proses mengambil masa, proses menuntut kesabaran
dan kecekalan. Dalam proses kita tidak akan tahu hasil akhir yang akan
dipersembahkan kepada kita. Kita cuma melaluinya dengan redha dan pasrah.
Ternyata, kadang kala hasil akhir yang diperoleh boleh jadi di luar
jangkauan minda. Sama juga dengan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail,
pengakhiran sebuah kisah yang pada awalnya kita jangkakan Nabi Isa
menjadi korban diganti dengan kibas.
Allah Maha Mengetahui.
Sekiranya pada waktu berkenaan Nabi Ismail yang
menjadi korban. Siapakah yang akan meneruskan tradisi ini? Siapakah yang
sanggup menjadi 'Nabi Ismail' di abad moden? Ada sesiapa yang berani? Saya
yang bertanya pun sejujurnya menyatakan tidak.
*senyum tanpa perlu kata apa-apa*
Proses juga menuntut jiwa yang sedar dan akal yang
faham. Oleh itu, sebelum kita melakukan apa jua tindakan, FAHAMilah tujuan
kita bertindak dan KEJUTlah jiwa kita yang seringkali terbawa arus
tradisi. Mengulang tindakan yang sebelum, meski kita sudah menyedari tiada
rasional di sebaliknya ataupun kerana kita lelah untuk memikirkan tindak
yang baru.
Ingat, kita bukan sendiri!! Kita sentiasa ada Allah
di sisi. :)
Berkorban: Menurut kesanggupan, mengikut kemampuan
Muslim itu al qudrah al-juz'iyyah al
mahdudah. Terbatas kemampuannya apabila sendiri. Kita
mampu berkorban sedikit, saudara kita seIslam yang lain berkorban
sedikit. Ikut kadar kemampuan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Yang
penting keikhlasan dan ketaqwaan yang jelas.
Firman Allah SWT:
“Daging-daging korban dan darahnya itu,
sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan)
yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya.
Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu
supaya kamu mengagungkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita
gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”
(Surah al-Haj : ayat 37)
Nota kaki:
1. Pada bulan-bulan terakhir menerajui kepemimpinan
siswi di IPG Kampus Perempuan Melayu, saya sedar tidak banyak yang telah saya
'korban'kan untuk kampus tercinta. Masih banyak yang boleh saya lakukan, yang
tidak terdaya saya lakukan walaupun hati memberontak mahu melakukan. Maka saya
kembali terfikir, cukupkah cinta kalau hanya setakat ini? Apakah post di
atas hanya alasan untuk menyelamatkan diri? Wallahua'lam
2. Maka, sebagai insan kecil, yang tidak punya apa-apa
melainkan banyaknya kelemahan, saya ingin memohon maaf kepada sekalian yang
membaca. Sesungguhnya, banyak yang belum terlunas. =.=''
3. Terima kasih buat yang selalu mengingatkan saya
tentang mahalnya harga sebuah amanah. Berdiri antara syurga dan neraka.
Sumbangan tak mampu membeli syurga, kealpaan mengheret ke pintu neraka,
sedangkan hidup belum tentu sampai bila.
Mengintai makna pengorbanan, nampak berbalam dari
kejauhan. Tunjukilah jalan mencari keredhaan. Moga tak terjatuh ke lembah
kejahilan..
At
Taubah ayat 111
Sesungguhnya
Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan
memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka
membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di
dalam Taurat, Injil dan Al quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya
(selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu
lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
No comments:
Post a Comment