Pages

Friday, November 19, 2010

Falsafah 'BOTOL'...



Assalamualaikum w.b.r

Salam dari seorang Umairah,

Botol....

Apa cerita tentang botol ni??

Bendanya macam
simple je tapi sebenarnya faedahnya banyak kalau kita betul-betul perhatikan. Pasti semua orang kenal botol kan..?? Kalau dalam bahasa Melayu perkataan botol ni merupakan gabungan simbol-simbol tulisan iaitu [b.o.t.o.l].. Pola keselarasan vokal yang terlibat ialah kv+kvk, dan ianya merupakan kata nama am dan ditulis dalam huruf kecil. (sedikit info bahasa Melayu). Simbol-simbol tulisan ni lantas membentuk satu imej dalam minda kita. (Kalau tak silap ni ada dalam Hukum Semantik yang menghubungkan kata dengan makna). Dan imej yang terhasil itu adalah seperti ini;

Apa ada pada botol..??
Mula-mula kita lihat pada kegunaan botol dulu.
  1. Digunakan untuk mengisi air dan air berkenaan dapat digunakan untuk menghilangkan dahaga.
  2. Kalau botol kaca, dapat pula digunakan untuk mengetuk kepala pencuri yang masuk rumah waktu malam. (pasti berjahit kepala tu nanti)
  3. Digunakan untuk guna semula, botol yang dah guna akan digunakan berkali-kali. (walaupun ada fakta yang mengatakan botol air yang digunakan berkali-kali mempunyai risiko adanya larutan kimia, tapi masih nak guna lagi botol air tu banyak kali)
  4. Jual balik untuk digunakan samaada sebagai botol sos, kicap, cencaluk mahupun budu yang sedap sehinggap menjilat jari (mak mertua lalu confirm tak sedar).
Mungkin ada lagi lah kegunaan botol yang tidak tercatat di sini... Baiklah semua, sekarang kita beralih kepada mood yang lebih serius....

Apa ada pada botol??

Sebenarnya botol itu adalah kita...

Ya, botol itu adalah kita...

Jangan sekali-kali kita nafikan fakta ini...

Kita lihat pada sifat botol,
Ada pelbagai bentuk dan warna,
ada yang lutsinar dan lutcahaya,
Ada yang tinggi, ada yang sederhana. dan ada pula yang 'comel' sedikit,
Ada yang warna hijau, biru, kuning, merah, dan pendek kata warna-warni,
Ada yang permukaan rata dan ada yang berlekuk-lekuk,
Dan ada macam-macam bentuk tapi bentuk asasnya adalah silinder dengan bukaan berbentuk bulatan pada salah satu hujung...

Kenapa demikian???
Cuba pula kita bandingkan dengan diri kita,
Asasnya manusia semua sama,
Ada pancaindera yang sama,
Sempurna,
Tapi tak semua kita adalah sama,
Ada yang Allah kurangkan dan ada yang Allah lebihkan,
Tetapi tidak kisah semua itu,
Kerana Allah tidak pernah memandang pada luaran,
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13;

".... Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu adalah dia yang paling bertakwa di sisi Allah."

Lihatlah wahai Teman,
Walau kita sempurna sekalipun di luar, tetapi 'cacat' di dalam,
Tiada nilai satu sen pun diri kita ini,
Setiap amal kita lakukan, sekiranya niatnya manusia, makalah manusialah yang kita dapat...
Tetapi sekiranya Allah matlamat kita, InsyaAllah itulah yang akan kita peroleh...

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar Al-Khattab r.a katanya: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya segala amalan-amalan itu bermula dari niat-niat dan sesungguhnya seorang itu (ia akan mendapat berdasarkan) untuk apa yang diniatkan...."

(Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)


Itu luarannya botol..
Maka, bagaimana pula dalamannya???
Apakah isinya???


Cecair bukan???
Misalnya air mineral, air sirap, air 100 plus, minyak, sos, kicap dan sebagainya,
Apa jadi kalau dalam botol itu adalah pepejal,
Contoh air yang disejukbekukan???
Tidak ada apa-apa yang akan keluar dari botol itu, bukan???
Lalu bagaimana kita ingin meminum air yang berada didalamnya,
Sudah pasti kita perlu menunggu sehingga ais mencair terlebih dahulu,
Yang pastinya isi yang ada dalam botol haruslah berbentuk cecair barulah akan mendatangkan faedah pada yang mengambil manfaat daripadanya.....

Anologinya di sini adalah sama dengan ilmu yang ada pada manusia,
Variasi air adalah kepelbagaian bidang ilmu yang ada pada manusia,
Air berbentuk cecair kerana ilmu itu harus mengalir pada orang lain bukan untuk disimpan untuk diri sendiri sahaja,
Ada pelbagai kelikatan cecair,
Bergantung pada tinggi mana manfaat ilmu itu pada orang lain,
Kalau yang cair itu, tinggi manfaatnya dan perlu dikuasai oleh semua orang,
Kalau yang pekat itu pula hanya boleh dikuasai oleh orang-orang tertentu sahaja,
Macam ilmu falsafah, ilmu kaji bintang, ilmu angkasa,
Hanya beberapa orang yang fakih mengenainya,
Orang lain hanya tahu dasarnya sahaja.

Dan ilmu pula kalau lama tidak digunakan pasti akan membeku,
Perlukan waktu untuk kembali digunakan,
Perlukan usaha untuk mencairkannya kembali,
Jangan biarkan ilmu itu membeku terlalu lama,
Kelak dibuang begitu sahaja tanpa manfaat pada siapa-siapa,
Alangkah ruginya...

Pada seorang guru,
Ilmu itu antara tunggak utama,
Tanpa ilmu, tiada nilainya seorang guru itu,
Dan air adalah ilmu yang dimiliki oleh seorang guru,
Ibarat botol yang mengandungi air yang paling enak di alam semesta,
Guru harus mengisi dirinya dengan ilmu yang terbaik dan bermanfaat mengikut keperluan anak-anak didiknya.

Air perlu dibiarkan mengalir pada anak muridnya yang sifatnya umpama gelas,
Menunggu sahaja air apa yang akan dituangkan ke dalamnya,
Gelas ini telah dibentukkan coraknya oleh tangan ibu bapa mereka,
Jika sedap, maka enaklah rasanya,
Dapat pula menghilangkan dahaga,
Tetapi ada juga murid yang terus meneguk dari botol,
Ilmunya tetap dapat tetapi hilanglah akhlak dan adabnya dalam menuntut ilmu,
Sirnalah manis dan sopannya,
Walau maksudnya sampai...
Seorang guru yang baik tidak akan sanggup menghidangkan pada anak didiknya air lumpur yakni ilmu yang tidak mendatangkan manfaat bahkan semata-mata mudharat...

Masa berlalu,
Dan lama-kelamaan ilmu yang ada tidak lagi relevan dengan keadaan semasa,
Maka seorang guru harus menambahkan ilmu yang ada padanya,
Jangan biarkan botol itu kosong kerana ia akan kehilangan fungsinya.

Seandainya seorang guru kehilangan fungsi,
Pasti musnahlah masyarakat akan datang,
Kerana tugas seorang guru bukan menghasilkan seorang murid,
Tetapi membangunkan satu generasi pewaris akan datang.

Tetapi berpada-pada dan bersederhanalah,
Jangan terlalu memaksa diri,
Tuntutlah ilmu sesuai dengan kemampuan,
Jangan sampai melimpah ruah,
Bimbang akan mendatangkan musibah.

Oleh itu,
Jadilah botol.
Satu ciptaan yang biasa,
Tetapi boleh menjadi luar biasa,
Derngan isi yang ada di dalamnya...

Pelbagai pilihan untuk kanak-kanak (=



p/s: Saya menggunakan guru kerana contoh berkenaan paling dekat dengan diri saya, tidak bermakna orang lain tidak boleh mengambil iktibar daripada falsafah botol.... Wallahua'lam









Thursday, November 18, 2010

PENULIS vs ARTIS..


Assalamualaikum w.b.r...

Salam dari seorang Umairah...

Alhamdulillah... Tinta maya mampu terlakar lagi...

Tetapi sebenarnya saya ketandusan idea. Ada perkara yang hendak dikongsikan tetapi mungkin belum cukup perisa. Menulis (walaupun dalam konteks maya disebut sebagai menaip.. huhu) adalah satu perbuatan yang dapat mendatangkan kepuasan dan memerlukan perisa tertentu menurut selera penulis sendiri. Jadi kalau dah rasa macam cukup perisa barulah sesuatu entry akan diterbitkan. (Rasa macam skema la pula)...

Dek kerana kekontangan idea untuk menulis, makanya saya membelek karangan-karangan lama saya yang masih ada dalam simpanan. Karangan waktu alam persekolahan masa tahun 2006 (Oh, tahun SPM ni – daku terkenang... huhu). Bila tengok balik rasa macam kelakar pun ada. Entah apa la yang saya tulis. Tapi itulah, satu tabiat saya yang agak tidak elok untuk diamalkan ketika peperiksaan ialah kecenderungan untuk menulis ayat yang berjela-jela walaupun untuk menyampaikan maksud yang ringkas. Sudahnya, jadilah fenomena tak cukup masa. Adakah waktu dulu-dulu saya bermasalah bahasa dan komunikasi macam yang saya belajar dalam Pendidikan Khas?? Entahlah.. Mungkin ya, mungkin tidak...

Saya tidak mahu laman sesawang ini terbiar sepi terlalu lama, jadinya saya ambil keputusan untuk kongsi salah satu karangan yang pernah saya tulis. Saya pun tak pasti waktu bila saya jawab soalan ini, tapi apapun saya dah baiki sedikit sebanyak. Tapi tak banyak pun kerana berniat untuk mengekalkan keaslian. Yang mana salah eja sahaja saya betulkan. Kalau ada adik-adik SPM terbaca blog ni (ada ke.. huhu), tak payah buat rujukan la ye. Karangan ni tak seberapa. Markah cukup makan je. Isu semasa yang digunakan pun sesuailah dengan zaman tu, tapi sudah tidak relevan lagi dengan isu sekarang. Satu lagi, saya pun tak tahu apa tajuk soalan sebab saya tak tulis. Apapun, selamat membaca dan ambil input yang mana penting.


Artis merupakan seorang insan ataupun individu yang mempunyai bakat serta kebolehan dalam bidang hiburan tidak kira sebagai pelakon, penyanyi, pelawak dan sebagainya. Dewasa ini kita dapat menyaksikan kemunculan ramai artis baru dalam industry hiburan tanah air dan kehadiran mereka yang ramai ini ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sebut sahaja nama Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Misha Omar, Hans Isaac, ataupun Ako Mustapha, tentu ramai yang mengenali mereka. Begitu juga dengan Faizal, jaura Akademi Fantasia musim keempat. Khabarnya, orang Kemaman mengumpul ahli untuk membentuk Kelab Peminat bagi menyokong bintang yang baru bersinar ini. Bagaimana pula dengan nama A. Samad Said, Lim Siew Tin, Dr HM Tuah Iskandar dan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni. Pasti ada antara kita yang termangu-mangu, menggaru-garu kepala, serta menggelengkan kepala masing-masing lantaran tidak pernah mengenali meraka. Kalau ada, jumlahnya pasti sedikit. Merekalah sebenarnya penulis-penulis yang mampu membentuk minda remaja.

Setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai sebab musabab yang tersendiri. Rasanya tidak perlu ada rundingan ataupun mesyuarat bagi mencari faktor ataupun pemangkin bagi yang menyebabkan remaja hari ini semakin mengenepikan penulis berbakat dan mengagungkan para artis. Lihat sahajalah sekeliling kita. Setiap hari kita menonton televisyen. Sama ada kita sedar ataupun tidak, kebanyakan rancangan yang disiarkan menjurus ke arah hiburan. Seawal jam tujuh pagi sehinggalah lewat malam, berpuluh-puluh drama berlainan genre disajikan kepada penonton. Sekarang lihatlah, mana mungkin remaja tidak mengagungkan artis kerana setiap hari mereka didedahkan dengan perkara seumpama itu. Sudah menjadi fitrah bagi seorang remaja, jiwa mereka mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling apatah lagi sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu yang mencukupi. Jadilah mereka seperti lalang yang ditiup angin, tidak mengikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk.

Selain itu, kebanyakan remaja juga semakin mengenepikan penulis-penulis ini kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Kesibukan ibu bapa mencari wang untuk menyara kehidupan keluarga menjadikan mereka lupa akan tanggungjawab sebenar untuk mendidik anak-anak. Mereka membiarkan anak-anak mereka berbangga dengan artis pujaan kononnya merekalah ibu bapa yang paling berfikiran terbuka dan mengikut peredaran semasa. Lebih teruk lagi sekiranya ada yang sesetengah ibu bapa yang meminati artis lebih berbanding anak-anak mereka sendiri. Sudah tentu mereka tidak boleh menegur anak-anak mereka kerana sekiranya mereka melakukan yang sedemikian, mereka tidak ubah seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan betul. Elok ibu bapa, maka moleklah anaknya kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Masa umpama pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu. Pepatah Inggeris ini menerangkan kepada kita peri pentingnya menjaga masa. Perbandingan yang dapat kita buat adalah antara seorang remaja yang menjaga masa dengan membaca tulisan-tulisan ataupun karangan-karangan ilmiah dengan remaja yang membazirkan masanya berada di hadapan televisyen untuk menonton rancangan realiti Akademi Fantasia. Remaja yang membaca sudah tentu memperoleh banyak pengetahuan yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian sedangkan remaja yang menghabiskan masa dengan hiburan pula, sudahlah masa dihabiskan begitu sahaja, mata mereka pula akan mengantuk akibat berjaga malam kerana menunggu siaran tamat. Jikalau mata sudah mengantuk, sudah pasti tumpuan terhadap pelajaran juga akan terjejas. Kesimpulannya di sini, sekiranya seorang remaja terlalu mengagungkan artis, masa mereka akan terbuang begitu sahaja.

Disamping itu, implikasi lain yang akan timbul ialah wujudnya perasaan untuk meniru perbuatan artis tersebut. Ringkasnya, apabila remaja menjadikan mana-mana artis sebagai idola, meraka akan mempunyai satu kecenderungan untuk meniru perilaku artis berkenaan. Mereka akan meniru dari segenap sudut termasuklah cara berpakaian, cara hidup, perkara yang diminati artis berkenaan, serta banyak lagi. Hal ini tidak akan menguntungkan remaja berkenaan kerana dia seolah-olah membentuk dirinya untuk menjadi seorang insan yang lain. Lama-kelamaan perasaan sayang pada diri akan luntur dan mereka tidak malu untuk melakukan perbuatan yang tidak elok. Benarlah kata orang bahawa perlawanan yang paling hebat ialah perlawanan untuk menentang diri sendiri. Tidak ada salahnya sekiranya remaja mengikut perkara yang baik, tetapi perkara yang dikhuatiri adalah apabila mereka mencontohi sikap yang negetif dan sikap berkenaan mendarah daging dalam diri mereka.

Kita mengimbau sejenak perkembangan kebangkitan semangat nasionalisme sewaktu Negara belum merdeka, segala-galanya bermula dengan hasil penulisan. Kemunculan ramai penulis Melayu, yang membangkitkan semangat patriotisme mendorong penduduk Tanah Melayu bangkit untuk menentang penjajah. Akhirnya dengan berkat semangat satu padu, negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Pada ketika itu, tidak ada artis yang terlompat-lompat di atas pentas dengan menyanyikan lagu berentak rock. Konklusinya, remaja hari ini akan mudah dilalaikan oleh dendangan lagu. Keasyikan ini sebenarnya mendatangkan satu situasi yang merbahaya kepada kita. Akibat kelalaian ini, remaja tidak akan mempunyai semangat patriotik dalam diri mereka. Justeru, apabila hal ini berlaku, siapa tahu, negara kita akan kembali terjajah. Oleh itu, kita haruslah membebaskan minda kita daripada penjajahan yang disebabkan oleh sikap fanatik terhadap artis. Seorang pujangga pernah berkata, minda umpama payung terjun yang akan berfungsi apabila di buka.

Oleh hal yang demikian, kita semua haruslah sedar menyedari tanggungjawabkita dalam memartabatkan penulis-penulis yang berbakat besar. Penghargaan terhadap hasil penulisan ternyata dapat membentuk insan yang berguna. Kita seharusnya tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Gunakanlah akal kurniaan Allah dengan sebaik-baiknya.. Wallahu’alam...


Itu sahaja karangannya, tak panjang pun. Tapi saya tak boleh menahan diri daripada membaiki beberapa ayat yang agak teruk.. huhu.. Apapun, terima kasih pada yang sudi membaca dan minta maaf kerana mengambil masa anda membaca karangan taraf SPM ni..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails