PERNYATAAN
PROFESIONAL: SEBELUM PRAKTIKUM
“Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang
yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang.” –
Cecil B. De Mille
Lantaran itu, dalam apa jua pekerjaan
sekalipun, adalah sangat penting untuk kita menetapkan matlamat. Pekerjaan
tanpa matlamat ibarat memburu tanpa sasaran. Natijahnya, masa dihabiskan, namun
sifar hasil. Praktikum Fasa 1 ini merupakan satu titik mula yang penting dalam
hidup, maka saya telah menetapkan tiga matlamat utama dalam usaha memastikan
ianya mendatangkan impak yang besar kepada permulaan karier saya sebagai
pendidik.
Matlamat yang pertama ialah saya ingin
meningkatkan kemahiran berkomunikasi saya dengan golongan kanak-kanak (murid
sekolah) dan juga golongan dewasa (para guru dan juga staf sokongan).
Komunikasi merupakan satu proses untuk membina atau berkongsi makna dalam
kumpulan atau syarahan. Komunikasi lisan memerlukan kedua-dua pihak memelihara
aspek kesantunan dalam berbahasa. (Kajian Verdeber dan Verdeber, 2002). Satu
kelemahan saya ialah, tidak tahu cara yang terbaik untuk mendekati kanak-kanak.
Pemilihan diksi yang digunakan dalam berbahasa, kadang kala tidak tepat dan
sesuai. Kadang kala bahasa terlalu rendah, kerana kebiasaan berhadapan
kanak-kanak pendidikan khas, kadang-kadang pula tinggi kerana kelaziman berucap
di khalayak guru pelatih Institut Pendidikan Guru. Manakala kekurangan isu dan
topik pula membataskan komunikasi dengan golongan dewasa.
Pelbagai lapisan masyarakat |
Maka,
jangkaan saya terhadap matlamat yang telah ditetapkan pula ialah saya yakin dan
percaya ianya akan sukar pada peringkat awal. Bukan senang untuk berkomunikasi
dengan golongan yang berlainan wacana dengan kita. Juga sukar untuk menyukai
secara jujur, sedangkan kita juga ada pandangan kita sendiri. Apapun, kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Saya menjadikan bapa tersayang
sebagai idola saya. Dia sentiasa tahu mempelbagaikan pendekatan apabila dia
berhadapan dengan golongan yang pelbagai. Tanpa sedar, secara tak langsung dia
mendidik saya. Oleh itu, saya akan cuba pelbagai cara untuk mendekati warga
sekolah dan memanfaatkan apa jua medium untuk membina hubungan yang baik dengan
warga sekolah.
Rasulullah sallahu a’laihi wasallam (s.a.w) merupakan ikon terbaik dalam
komunikasi. Matlamat saya yang kedua pula ialah cuba untuk bercakap dari hati.
Saya yakin kepada satu perkara iaitu tutur yang datangnya dari hati, akan
sampai jua kepada hati. Abu Daud meriwayatkan daripada Aisyah radiallahu anhum (r.a) , katanya “Adapun kalam Rasulullah
merupakan suatu kalam yang menjadi pemutus (jelas), difahami oleh semua orang
yang mendengarnya”. Saya tahu, amat mustahil untuk menjadi sebagaimana baginda
Rasulullah, namun saya ingin sentiasa cuba meningkatkan kemahiran pengucapan
saya supaya menjadi lebih baik dari masa ke masa. Hal ini kerana, pengucapan
yang baik mampu menarik hati-hati kepada pengamalan nilai-nilai murni. Itulah
hasrat terpenting dalam dunia pendidikan. Membentuk manusia yang cemerlang
secara holistik. Hati sebagai suis utama yang akan menggerakkan anggota badan
mesti sentiasa dididik dan orang yang mendidik itulah yang seharuslah terlebih
dahulu, elok hatinya.
Saya menjangkakan saya berkemungkinan
akan berhadapan dengan cabaran yang besar dalam usaha merealisasikan matlamat
saya yang ini. Meskipun sekarang ini saya sememangnya berada dalam proses untuk
membina matlamat ini dalam kehidupan, namun saya masih belum yakin sepenuhnya
ianya akan tercapai dalam masa terdekat, bahkan bakal mengambil masa sepanjang
kehidupan saya untuk menjadikannya sebagai kenyataan. Tetapi, saya tidak mahu
kalah sebelum berjuang. Maka, saya menetapkan satu matlamat jangka pendek iaitu
saya akan cuba untuk mengamalkan konsep berfikir sebelum bercakap dan
memenangkan akal berbanding emosi sepanjang tempoh saya berpraktikum. Konsep
ini akan dipraktikkan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.
Cikgu, didiklah kami.. :') |
Matlamat saya yang terakhir ialah untuk
mendalami budaya sekolah yang baik untuk dijadikan sebagai panduan dan
pengalaman yang berharga. Setiap sekolah mempunyai satu suasana dan budaya yang
tiada pada sekolah lain. Keunikan yang ada pada sesebuah sekolah akan
menjadikan ianya istimewa berbanding sekolah lain. Sememangnya sudah menjadi kebiasaan
saya, saya akan banyak memerhatikan budaya sebelum membiarkan saya teradaptasi
dengan budaya tempat saya belajar mahupun ditempatkan. Saya akan diam meneliti
dan mula membina set minda saya sendiri. Hal ini penting, seperti kata pepatah
Melayu, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Saya mesti cepat
belajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekolah.
Kesemua matlamat yang saya sasarkan
tidak lain dan tidak bukan adalah untuk saya menghayati jiwa seorang pendidik.
Kesemua elemen sebagaimana yang telah saya nyatakan akan saya peroleh dengan
benar-benar memanfaatkan sebulan ini dengan sehabis baik. Pokok utama adalah,
saya akan membina pengalaman baru tentang pengendalian kelas dan pengurusan
pelajar yang merupakan elemen kemahiran terbaik yang perlu dikuasai oleh seorang
guru. Saya juga bakal mempelajari dan cuba memahami warna-warni dunia
pendidikan khas secara lebih mendalam. Saya yakin, ianya tidak akan sama dengan
situasi yang pernah saya alami semasa mengikuti pengalaman berasaskan sekolah
sebanyak empat kali sebelum ini. Saya teruja dan dalam masa yang sama agak sangat
khuatir tentang kesesuaian pembawakan watak sebagai seorang guru yang perlu
saya mainkan. Apapun, saya yakin yang saya hanya akan menjadi diri saya sendiri
dan mencari pengalaman dan kepuasan sepanjang praktikum ini dengan cara saya.
Kids, here i come. I might not the best, but I'll to give my very best.. :) |
Harapan saya agar, segala matlamat yang
saya tetapkan sepanjang praktikum ini akan tercapai dalam usaha untuk membentuk
diri saya yang memenuhi Falsafah Pendidikan Guru. Saya tidak mahu menjadi guru
biasa, saya mahu menjadi guru yang mendidik. Ianya satu perjalanan yang panjang
yang berterusan. Saya telah pun bermula, maka tiada lagi tolehan ke belakang.
Ianya harus diteruskan.