Pages

Sunday, October 28, 2012

Tinta Aidiladha


Allahuakbar..!
Allahuakbar..!
Allahuakbar..!

Walillahilhamd..


Selawat serta salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


Mengintai makna PENGORBANAN

Pengorbanan: Tiada satu perkataan yang dapat menjelaskan definisi pengorbanan secara tepat. Kerana pengorbanan bukan satu perkataan yang boleh dijelaskan tanpa perkataan lain.

Saya petik definisi ke-3 dalam Kamus Dewan..

Pengorbanan: Pemberian (Kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu sebagai tanda kebaktian) Kita singkap ibrah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Mahu diulang rasanya kisah ini cukup dekat di hati semua yang bergelar Muslim. Saya suka mengambil kesimpulan sahaja, iaitu berkenaan makna pengorbanan. 

Pengorbanan yang ingin dimaknakan dalam kisah ini ialah: Kesediaan, kesetiaan, dan keikhlasan. Lihatlah bagaimana ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang redha menerima perintah Tuhan untuk mengorbankan putera baginda Ismail a.s. Namun, ketaatan yang wujud dalam diri Ibrahim a.s itu sangat mengujakan sehinggakan Ismail.a.s juga redha dengan ketentuan yang telah diperintahkan.


Siapa yang sanggup meletakkan pisau yang tajam pada leher orang lain, sementelah jasad itu adalah anak sendiri. Sudahlah sedari kecil ditinggalkan. Tetapi, siapa yang mampu mempersoalkan kisah aturan Ilahi? Dugaan sebegini tidak dititipkan kepada manusia biasa seperti kita, tetapi kepada Nabi Allah yang mulia. Kerana apa? Kerana kita pasti tidak betah untuk menghadapinya. Atau kerana mungkin tahap kesetiaan/ketaatan kita  kita kepada Allah belum menjadikan kita mampu berkorban sedemikian rupa.

Semak sahaja mutabaah amal kita. Allahu. Bagaimana kita begitu pasti berbicara tentang pengorbanan yang kita lakukan sedangkan amal kita lompang di sana-sini? Kita katakan kita sudah melakukan itu dan ini. Berkorban masa, tenaga, wang ringgit untuk jalan perjuangan. Begitu hebat diri kita ini. Lantang berbicara, kemas hujahnya, fasih tuturnya. Tapi kosong natijahnya. Astaghfirullahalazhim.

Bukan berniat mahu melunturkan motivasi, tetapi bertujuan agar kita sama-sama koreksi diri. Kita rasa kita hebat, kita rasa kita tahu semua perkara, kita rasa kita tidak perlukan siapa-siapa. Kita silap sebenarnya. Nilailah samada, kita sedang berkorban ataupun terkorban. Masa masih ada, kesempatan masih terbuka, walaupun sudah lewat di hujung usia, berUBAHlah sebelum kita menjadi korban yang nyata.

Pengorbanan: Manifestasi kesetiaan, kesediaan dan keikhlasan. Sebuah pengorbanan lahir dari cinta dan cinta tidak memerlukan kata-kata. Ia bukti yang nyata, terzahir pada perbuatan.


Pengorbanan: Satu PROSES :)

Sebagaimana, kisah Nabi Ibrahim: pengorbanan yang dilakukan juga tidak berlaku pada saat mimpi pertama, sebaliknya di realisasikan setelah mimpi ke-3. Masa diambil untuk berfikir, bukan kerana ragu-ragu tetapi begitulah resmi orang bijak pandai mengatur strategi. Mengambil masa, memohon petunjuk Allah. Tidak semberono dalam bertindak. 

Proses mengambil masa, proses menuntut kesabaran dan kecekalan. Dalam proses kita tidak akan tahu hasil akhir yang akan dipersembahkan kepada kita. Kita cuma melaluinya dengan redha dan pasrah. Ternyata, kadang kala hasil akhir yang diperoleh boleh jadi di luar jangkauan minda. Sama juga dengan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, pengakhiran sebuah kisah yang pada awalnya kita jangkakan Nabi Isa menjadi korban diganti dengan kibas.

Allah Maha Mengetahui.

Sekiranya pada waktu berkenaan Nabi Ismail yang menjadi korban. Siapakah yang akan meneruskan tradisi ini? Siapakah yang sanggup menjadi 'Nabi Ismail' di abad moden? Ada sesiapa yang berani? Saya yang bertanya pun sejujurnya menyatakan tidak.

*senyum tanpa perlu kata apa-apa*

Proses juga menuntut jiwa yang sedar dan akal yang faham. Oleh itu, sebelum kita melakukan apa jua tindakan, FAHAMilah tujuan kita bertindak dan KEJUTlah jiwa kita yang seringkali terbawa arus tradisi. Mengulang tindakan yang sebelum, meski kita sudah menyedari tiada rasional di sebaliknya ataupun kerana kita lelah untuk memikirkan tindak yang baru. 


Ingat, kita bukan sendiri!! Kita sentiasa ada Allah di sisi. :)


Berkorban: Menurut kesanggupan, mengikut kemampuan

Muslim itu al qudrah al-juz'iyyah al mahdudah. Terbatas kemampuannya apabila sendiri. Kita mampu berkorban  sedikit, saudara kita seIslam yang lain berkorban sedikit. Ikut kadar kemampuan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Yang penting keikhlasan dan ketaqwaan yang jelas. 

Firman Allah SWT:
“Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.” 

(Surah al-Haj : ayat 37)

Nota kaki:
1. Pada bulan-bulan terakhir menerajui kepemimpinan siswi di IPG Kampus Perempuan Melayu, saya sedar tidak banyak yang telah saya 'korban'kan untuk kampus tercinta. Masih banyak yang boleh saya lakukan, yang tidak terdaya saya lakukan walaupun hati memberontak mahu melakukan. Maka saya kembali terfikir, cukupkah cinta kalau hanya setakat ini? Apakah post di atas hanya alasan untuk menyelamatkan diri? Wallahua'lam
2. Maka, sebagai insan kecil, yang tidak punya apa-apa melainkan banyaknya kelemahan, saya ingin memohon maaf kepada sekalian yang membaca. Sesungguhnya, banyak yang belum terlunas. =.=''
3.   Terima kasih buat yang selalu mengingatkan saya tentang mahalnya harga sebuah amanah. Berdiri antara syurga dan neraka. Sumbangan tak mampu membeli syurga, kealpaan mengheret ke pintu neraka, sedangkan hidup belum tentu sampai bila. 

Mengintai makna pengorbanan, nampak berbalam dari kejauhan. Tunjukilah jalan mencari keredhaan. Moga tak terjatuh ke lembah kejahilan.. 

At Taubah ayat 111


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.


Salam Eid Adha 1433 H

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails